Berita

BIG STAGE 2020: Tersingkir, “Saya Sedih…” – HANIE SORAYA

|HANIE tersingkir dalam konsert kedua Big Stage 2020 |PARA peserta Big Stage 2020 yang layak ke konsert minggu ketiga
- Diterbit 24 Ogos 2020 8:49 AM MYT

IMPIAN peserta rancangan realiti nyanyian Big Stage 2020, Hanie Soraya tidak kesampaian apabila tersingkir pada konsert kedua malam tadi. 

Hanie Soraya yang membawa lagu Ku Bahagia nyanyian asal Melly Goeslow ini mengaku sedih kerana tidak sempat menunjukkan bakat nyanyiannya dalam konsert-konsert seterusnya. 

“Rasanya kalau orang lain  di tempat saya pun akan mengalami perasaan yang sama. Sudah tentu saya sedih kerana tersingkir. 

“Siapa tak sedih? Iyalah… Sebenarnya masih banyak yang saya mahu tunjukkan dan mahu lakukan yang terbaik, tapi apakan saya tersingkir dalam konsert kali ini,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui pada sidang media selepas konsert minggu kedua.

HANIE tersingkir dalam konsert kedua Big Stage 2020

Hanie akui berasa agak terganggu apabila melakukan kesilapan teknikal di awal persembahan. 

“Kekurangan saya dalam konsert kedua ini apabila rasa terganggu di awal persembahan. Entah macam mana, intro lagu itu saya nyanyi awal. Jadi sedikit sebanyak mengganggu fokus saya.

“Saya akui keadaan itu membuatkan saya rasa kecundang apabila kesalahan di awal persembahan secara tidak langsung mengganggu keseluruhan persembahan saya.

“Tapi nak buat macam mana. Semua manusia buat silap dan itu banyak memberi pengajaran kepada saya,” jelasnya lagi yang sudah menamatkan pengajian selama enam tahun dalam Ijazah Sarjana Muda perubatan dari University Mansourah, Mesir. 

Sebelum ini Hanie popular dengan lagu Hujung Dunia, Rasa Sayang dan Pantas. 

PARA peserta Big Stage 2020 yang layak ke konsert minggu ketiga

Dalam konsert minggu kedua malam tadi, peserta lain seperti Usop menyanyikan lagu Hati,  Qody Rany (Cindai), Farisha Iris (Pura-Pura Bujang), Sandra Dianne (Kau Dan Aku),  Azzam Sham (Sinar) Dan Yamani Abdillah (Paku).

Bukan itu sahaja, peserta seperti Dinie Rashid yang mempertaruhkan lagu Batu Dan Golek, Fadh Majid (Alalala Sayang), Hafiz Zainal (Katakan Tidak), Amir Hassan (Donde) dan Nana Sheme (Mata) juga turut memberikan persaingan hebat. 

Pada konsert minggu ketiga, kesemua peserta yang layak bakal mempersembahkan lagu secara berduet dengan penyanyi pilihan produksi. 

Minggu ini, penyanyi Ernie Zakri diundang sebagai juri jemputan bergandingan dengan tiga juri tetap iaitu Faizal Tahir,  Dayang Nurfaizah dan Ajai. 

Manakala Caprice pula dijemput sebagai presiden netizen yang mengulas semula pendapat dalam kalangan wargamaya. 

Program Big Stage 2020 yang mempertaruhkan bakat muda generasi Budak Baru Nak Up (BBNU) ini dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad. 

Manakala personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Rancangan ini ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan bersiaran langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 16 Ogos 2020. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas