Berita

5 pemain senior calon ketua pasukan ragbi 7s

SKUAD Ragbi 7s negara ketika beraksi di Sukan Asia Indonesia 2018.
- Diterbit 24 Ogos 2020 10:00 AM MYT

PENYERAPAN lima pemain senior ragbi negara yang pernah membarisi pasukan ragbi 7s negara dalam kejohanan utama seperti Asia Rugby Sevens, Sukan Asia dan Sukan SEA ke dalam Skuad Projek 2026 bakal menambah kekuatan pasukan muda ini.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sebelum ini membentangkan lima calon pemain senior kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk diserap masuk ke dalam skuad projek tersebut.

Ketua Jurulatih, Saizul Hafifi Md Noor memberi bayangan akan menyerahkan tanggungjawab ketua pasukan kepada pemain senior memandangkan dia masih belum menamakan ketua pasukan setelah hampir sebulan lebih pasukannya memulakan latihan.

“Saya belum menamakan ketua pasukan namun  menyasarkan untuk memberikannya kepada pemain senior.

SAIZUL HAFIFI

“Pemain senior ini dapat membimbing pemain-pemain muda untuk bersedia dan membantu pasukan bagi menghadapi Sukan Asia 2026 nanti,” tambahnya.

Sebelum ini, Mohamad Nasharuddin Ismail, bertindak menggalas tanggungjawab itu dalam Sukan SEA Filipina 2019 sementara Zulkifli Azmi pula diberikan mandat untuk mengetuai cabaran dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Hampir keseluruhan pasukan kendaliannya kini dibarisi muka daripada skuad remaja yang dipersiapkan untuk mencapai misi pingat emas dalam Sukan Asia Nagoya enam tahun lagi.

Saizul Hafifi juga memaklumkan pihaknya juga ada mencadangkan untuk bekerjasama dengan jurulatih luar sebagai Penasihat Teknikal sepertimana yang pernah dilakukan pada 2017 ketika memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur namun cadangan perlu mendapat kelulusan daripada pihak MSN. -WILAYAHKU/MUHAMAD NIZAM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas