Berita

Artis, NGO sokong DBKL beku lesen arak

- Diterbit 5 Jun 2020 3:25 AM MYT

GOLANGAN karyawan termasuk artis turut melahirkan rasa bimbang mengenai peningkatan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk.

Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat ketika dihubungi Wilayahku, mengaku sedih dengan apa yang terjadi. Baginya, kes kemalangan sebegini boleh meragut nyawa pemandu dan mereka yang tidak bersalah.

Justeru, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 28, menyokong tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan semua permohonan baharu lesen minuman keras di ibu negara yang berkuat kuasa serta-merta.

“Ya. Saya menyokong sepenuhnya tindakan tegas yang diambil oleh DBKL. Sepatutnya dah lama kita patut bekukan lesen minuman keras.

“Tak perlu pun sebenarnya. Iyalah.. semua orang tahu, risikonya boleh meragut nyawa pemandu mahu pun orang awam yang menjadi mangsa kemalangan,” ujar Ayda Jebat yang turut bersedih apabila keluarga mangsa kemalangan yang tidak bersalah hidup merana.

Sebelum ini, NGO Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut menyatakan sokongan kepada DBKL yang membeku semua permohonan baharu lesen minuman keras di ibu negara.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, tindakan terbabit adalah antara langkah bijak dan berkesan bagi menangani isu pemandu mabuk di jalan raya.

Katanya, langkah berkenaan juga wajar menjadi contoh dan diikuti pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negara ini.

“CAP juga mencadangkan pihak berkuasa termasuk PBT membuat sekatan jalan raya berhampiran kelab malam atau pusat hiburan yang dibuka sehingga awal pagi. Dengan cara itu, pihak berkuasa dapat menahan pemandu mabuk serta merta.”

Untuk rekod, DBKL merupakan pihak berkuasa tempatan terawal membekukan lesen minuman keras serta merta selepas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa melalui Twitternya dengan memberi bayangan akan membekukan semua aktiviti membabitkan pengeluaran dan penjualan arak berikutan kekerapan kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk termasuk menyebabkan mangsa maut.

Annuar berkata, tindakan pembekuan wajar diambil selagi tiada garis panduan dan semakan perundangan dibuat dalam isu terbabit.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas