Berita

RM35 bilion pakej rangsangan ekonomi diumum melalui Penjana

KAKITANGAN swasta tidak melepaskan peluang menonton Perutusan Khas Muhyiddin petang tadi.
- Diterbit 5 Jun 2020 9:22 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM35 bilion diperuntukkan kerajaan melalui insentif khas Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumum hari ini, disifatkan sebagai instrumen terbaik dalam usaha memulihkan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat di segenap lapisan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah tersebut insentif Penjana turut menyaksikan kerajaan bakal memperuntuk hampir RM9 bilion yang dijangka mampu memanfaatkan tiga juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif.

Beliau menjelaskan, inisiatif yang pertama adalah, peluasan subsidi upah bernilai RM5 bilion yang mana sejak diperkenal dalam pakej PRIHATIN dan dan PRIHATIN PKS Tambahan, ia telah disambut baik oleh pekerja dan majikan.

“Program selama tiga bulan telah berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan.

“Bagi membantu syarikat dalam peralihan pembukaan semula ekonomi ini, kerajaan akan melanjutkan subsidi upah ini selama tiga bulan lagi,” katanya dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di beberapa saluran televisyen, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyatakan, keputusan diambil kerajaan dan tahap disiplin rakyat membolehkan wabak Covid-19 dibendung dengan lebih 80 peratus kes telah berjaya pulih sepenuhnya.

Muhyiddin berkata, barisan hadapan termasuk pasukan keselamatan bertugas siang dan malam untuk memastikan wabak ini dapat dibendung.

“Terima kasih di atas pengorbanan dan komitmen barisan hadapan. Terima kasih juga kepada semua rakyat yang terus mematuhi prosedur operasi standar (SOP) dalam melaksanakan aktiviti seharian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

“Kalau kita terus patuhi SOP ditetapkan, saya yakin sektor yang masih dilarang pada masa ini dapat dibuka dengan lebih cepat lagi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas