Berita

TAPAK tidak semeriah dulu

|
- Diterbit 4 Jun 2020 11:47 AM MYT

FOOD TRUCK atau kenderaan saji yang dibuka sejak 2016 merupakan salah satu tarikan pelancongan kerana konsepnya yang hipster dan menepati cita rasa generasi masa kini.

Mengetengahkan masakan barat, suasana yang santai dan terbuka menjadikan lokasi ini kegilaan untuk golongan muda melepak selain turut mendapat sambutan daripada generasi veteran.

Bagaimanapun, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas yang mana sebarang bentuk urus niaga tidak dibenarkan beroperasi, kawasan Tapak menjadi lengang.

Malah, apabila dibuka semula pada 28 Mei lalu, keadaannya tidak ubah seperti padang jarak padang terkukur walaupun terdapat beberapa pengunjung yang hadir, suasananya berubah 360 darjah berbanding seawal pembukaan empat tahun lepas.

Difahamkan, peniaga food truck yang berniaga di Tapak Urban Street Dining itu mencatatkan penurunan sebanyak 80 peratus.

Terdapat juga beberapa peniaga food truck yang tidak dapat meneruskan perniagaan selain terpaksa menjual kenderaan tersebut atau berhenti sewa di samping mengubah cara berniaga untuk mengurangkan kos.

Menurut Ketua Pemasarannya, Luqman Hakim Mohd. Radzi, selepas beberapa hari beroperasi sejak 28 Mei lalu, jumlah pengunjung yang hadir juga menurun sebanyak 70 hingga 80 peratus.

Malah, katanya, jumlah pelanggan yang hadir juga tidak seperti sebelumnya ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini.

“Buat masa ini ‘booking’ di Tapak berkurang sikit. Tapak ada di enam lokasi dan satu ‘pitstop’, yang berdaftar dengan kami ada lebih 500 peniaga sahaja.

“Sebelum ini, enam lokasi yang terlibat adalah KLCC, Stadium KL, Shah Alam, Cyberjaya, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dan Amcorp Mall. Dibuka setiap hari dengan purata kapasiti 110 food truck sehari (semua lokasi).

“Tetapi sekarang hanya 15 trak sahaja dalam tempoh enam hari sejak 28 Mei lalu yang mana hanya empat lokasi sahaja dibuka iaitu KLCC, Shah Alam, Cyberjaya dan Stadium KL,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas