Berita

Anwar lancar Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan

ANWAR (tengah) menyampaikan replika cek berjumlah RM1 juta kepada Pengarah Urusan Tahap Warisan Sdn Bhd, Datuk Tong Kim Eng.
- Diterbit 1 Jun 2023 8:55 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berkata tabung tersebut bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan di Wilayah Persekutuan.

“Seperti sedia maklum, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang masih bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Di sinilah pentingnya peranan YWP yang selama ini telah membantu golongan rentan melalui lima konsep program utamanya iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (PESAT),” ujar beliau.

Tambah beliau, YWP ditubuhkan bagi menjuarai isu-isu berkaitan pendidikan, ini dapat dilihat melalui lebih 20 skim bantuan yang merangkumi pelajar sekolah rendah, menengah hingga ke menara gading.

“Jika dihitungkan jumlah yang dibelanjakan demi mencapai sifar miskin di Wilayah Persekutuan pasti tidak ternilai jumlahnya jika YWP berseorangan. Namun saya difahamkan semua agensi kerajaan telah pun bekerjasama selama ini.

“Pelancaran tabung ini menjadi titik menyerlah dalam merangkumkan penyertaan golongan korporat dan orang perseorangan dalam meneruskan ikhtiar secara bersepadu untuk membantu golongan miskin bandar,” ujar beliau.

Anwar berkata hasil usaha sama dengan agensi kerajaan dan badan korporat menjadi penanda aras dalam membudayakan nilai ihsan seperti yang terkandung dalam kerangka Malaysia Madani.

Terdahulu, turut hadir pada majlis pelancaran Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj; Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Antara syarikat korporat yang menyumbang adalah Tahap Warisan Sdn Bhd, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Petronas dan lain-lain.

Sebagai rekod, sepanjang lima tahun kebelakangan ini, YWP yang telah ditubuhkan sejak 37 tahun lalu telah membelanjakan hampir semua tabungan mencecah lebih RM100 juta melalui pelbagai bentuk program-program kebajikan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas