Berita

Perdana Menteri serah kunci PPAM Madani Dalur

ANWAR (tiga kiri) bersama salah seorang penerima kunci kediaman pada Majlis Penyerahan Kunci PPAM Madani Dalur di Presint 18, Putrajaya, hari ini.
- Diterbit 1 Jun 2023 6:00 AM MYT

KERAJAAN Perpaduan komited menyediakan perumahan mampu milik selesa kepada golongan berpendapatan rendah (B40), terutama bagi kategori kos sederhana rendah di Wilayah Persekutuan walaupun berdepan dengan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembangunan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani juga selaras ke arah mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Dasar Perumahan Negara (2018-2025) di Wilayah Persekutuan yang menekankan keperluan pemilikan rumah berasaskan kepada keperluan dan kemampuan penduduk.

“Ia adalah usaha kerajaan bagi membantu golongan sasar untuk memiliki kediaman yang selesa dengan persekitaran yang selamat, sihat dan sejahtera,” katanya dalam ucapan Majlis Penyerahan Kunci PPAM Madani Dalur hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Pengarah Urusan TRC Land Sdn Bhd, Datuk Seri Sufri Mohd Zin.

PPAM Madani Dalur yang siap dibangunkan oleh Perbadanan Putrajaya menerusi pemaju TRC Land Sdn Bhd ini mempunyai sejumlah 500 unit kediaman dengan keluasan lantai adalah 1,000 dan 1,200 kaki persegi.

Harga jualan yang ditawarkan adalah tidak melebihi RM260,000 seunit iaitu lebih rendah daripada harga pasaran tidak termasuk kos nilai tanah di Putrajaya.

Di samping itu, penetapan syarat minimum
60 peratus daripada jumlah unit pembangunan ini diperuntukkan kepada kuota Bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan B40.

Pembangunan PPAM Madani Dalur ini turut merangkumi kemudahan seperti surau, sudut bacaan Al-Quran, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak dan tempat letak kereta berbumbung bagi memastikan persekitaran hidup yang lebih kondusif dan berkualiti.

Sehingga kini, sebanyak 9,480 unit PPAM yang melibatkan satu tapak projek pembangunan di Presint 5, 6, 11, 16, 17 dan 18 telah siap dibina sepenuhnya di Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas