Berita

Penubuhan Yayasan bagi setiap persatuan sukan tak munasabah – Hannah

- Diterbit 1 Jun 2023 12:30 PM MYT

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh berpendapat agak sukar untuk setiap persatuan sukan menubuhkan yayasan sendiri khususnya bagi menjaga kebajikan bekas atlet mereka sewaktu di alam persaraan.

Hannah berkata ia kerana setiap persatuan mempunyai keupayaan kewangan yang berbeza-beza yang bergantung kepada jumlah tajaan selain bilangan penonton yang hadir.

“Kalau setiap persatuan sukan ada yayasan, itu bagus namun untuk kita kata semua persatuan sukan perlu ada yayasan sendiri, tidak munasabah kerana kalau persatuan sendiri pun sedang cari dana… bagaimana nak bantu tubuh yayasan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita mengenai kewajaran setiap persatuan sukan menubuhkan yayasan sendiri selepas majlis penyampaian insentif kepada bekas pemain hoki negara anjuran Yayasan Hoki Malaysia, di sini.

Dalam pada itu, Hannah sangat berterima kasih kepada Yayasan Hoki Malaysia yang ditubuhkan sejak 1992 di atas inisiatif mereka menjaga kebajikan pemain hoki negara.

Katanya, ini termasuk langkah Yayasan Hoki Malaysian memberi bantuan skim persaraan sukan berdasarkan jumlah penampilan bersama skuad hoki kebangsaan kepada empat bekas pemain iaitu Baljit Singh Charun Singh berjumlah RM41,840,  Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (RM19,040), Joel Samuel Van Huizen (RM10,400) dan P. Pranbahkaran (RM10,400).

Beliau percaya inisiatif sedemikian mampu menarik anak muda untuk menceburi bidang sukan memandangkan mereka dapat menyedari bahawa terdapat yayasan yang sedikit sebanyak berupaya menjaga kebajikan mereka selepas bersara kelak.

Sementara itu, Izwan Firdaus bersyukur atas penghargaan diberikan kepadanya dam terharu kerana terdapat pihak yang tetap mengingati segala jasa dan keringat dicurahkan sewaktu mewakili negara satu masa dahulu.

“Sebagai bekas pemain, penghargaan seperti ini sangat penting kerana sebelum ini kita telah berkorban dan jalani latihan yang teruk demi negara,” katanya yang juga merupakan sebahagian daripada pemain skuad hoki lelaki negara menyumbang pingat perak pada Sukan Asia 2010. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas