Berita

Annuar mahu Putrajaya ‘hidup’ selepas waktu pejabat

JALUR Gemilang dikibar Unit Berkuda APM semasa
- Diterbit 4 September 2020 2:42 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berhasrat ‘menghidupkan’ Putrajaya selepas waktu pejabat menerusi penganjuran pelbagai aktiviti menarik.

Ujar beliau, dengan penganjuran seperti Perkampungan Quran dan Muzium Realiti Maya, diharapkan pusat pentadbiran negara terus menjadi tumpuan orang ramai terutama pelancong luar.

“Kita galakkan kalau ada penyertaan pelabur dan pihak swasta membawa acara atau mengadakan pembangunan tertentu yang boleh menyokong sektor pelancongan di sini.

“Putrajaya mempunyai segala kemudahan asas dan kita ingin  menjadikannya sebagai satu bandar yang hidup selain dikekalkan sebagai sebuah bandar ikonik, bersih, hijau serta bandaraya pintar.

“Kita juga merancang untuk membaiki sistem pengangkutan awam di Putrajaya dan melihat kepada pelaksanaan pengangkutan awam yang lebih baik di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perarakan 88 Pasukan Berkuda Perkhidmatan Awam Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Jubli Perak Perbadanan Putrajaya sejauh 6.7 kilometer di Dataran Putrajaya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, kerajaan berbangga dengan pencapaian PPj selama 25 tahun ini, terutama dalam pengurusan Putrajaya.

Ujar beliau, Kertas Jemaah Menteri juga sudah disiapkan dan disertakan dengan syor bagi membolehkan cadangan kerjasama bersama pihak swasta dalam memperbanyakkan perumahan awam.

Katanya, ia sebagai usaha untuk meningkatkan jumlah populasi di Putrajaya daripada 100,000 ketika ini kepada 300,000 pada masa hadapan.

Selain itu, Annuar berkata, jemaah menteri juga sudah meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memberi perhatian khusus dalam mempromosi dan membangunkan aspek pelancongan di Putrajaya.

Terdahulu, Perarakan Pasukan Berkuda diketuai Aminuddin disertai Unit Berkuda PPj, Unit Berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Briged Ekuin Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas