Berita

Prinsip Prihatin Rakyat dilaksanakan KWP

penjaja
PENJAJA di Kuala Lumpur turut mendapat manfaat daripada inisiatif Wilayah Prihatin.
- Diterbit 4 September 2020 2:27 AM MYT

SELARAS perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadikan inisiatif Prihatin Rakyat sebagai prinsip utama kerajaan, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) terus mengorak langkah membela nasib dan kebajikan warganya.

Malah, KWP juga sudah mengorak langkah dan menyediakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada penduduk Wilayah Persekutuan.

Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Rosida Jaafar, KWP sentiasa mendokong hasrat kerajaan dalam mengutamakan kepentingan rakyat.

Ujar beliau, pelbagai usaha dilaksanakan melalui inisiatif Wilayah Prihatin bagi mengurangkan beban dengan mewujudkan ‘social safety net’ untuk kemiskinan bandar khususnya warga Wilayah Persekutuan.

“Antara program yang dilaksanakan adalah seperti program usahawan  muda kota dan perumahan golongan B40. Selain itu, KWP juga  melaksanakan residensi wilayah, residensi prihatin, ‘council home’ dan pengangkutan awam yang efisien.

“Selain itu, terdapat juga lima inisiatif iaitu MYJobs@Wilayah, MYGrocer@Wilayah, MYSchoolBus@Wilayah, MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Rosida menegaskan, KWP sentiasa berusaha melaksanakan kesemua perancangan khusus yang dapat memberi manfaat kepada warga Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, pelbagai inisiatif dilakukan dan dirancang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk kesejahteraan penduduk Kuala Lumpur antaranya penyewaan Perumahan Bandar di 11 parlimen Kuala Lumpur memandangkan isu peningkatan harga rumah merupakan antara masalah yang menyulitkan rakyat.

“Bagi meringankan masalah ini, DBKL mewujudkan perumahan bandar yang bersifat sementara sehingga mereka dapat berdikari dan mampu mendapatkan kediaman yang lebih selesa.

“Selain itu, tambahan bas percuma GoKL di 11 parlimen juga turut diberi perhatian yang mana ketika ini terdapat lapan laluan yang sudah beroperasi dengan jayanya di samping aplikasi mudah alih yang diberi nama “GoKL” yang mudah diakses dan mesra pengguna,” kata beliau.

Ujar beliau lagi, antara inisiatif lain yang diwujudkan DBKL seperti mengambil lebih banyak Pekerja Sambilan Harian (PSH),  memperuntukkan lebih banyak kerja-kerja kontraktor G1 secara undi, menambah ruang aktiviti untuk anak-anak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL, mewujudkan bas medik untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sebagainya.

ORANG RAMAI
WARGA Wilayah Persekutuan gembira dengan inisiatif prihatin kerajaan.

Pada 30 Ogos lalu, Perdana Menteri menyatakan Prinsip Prihatin Rakyat akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021 dan apa jua dasar, inisiatif mahupun pakej rangsangan ekonomi pada masa hadapan demi membela nasib serta kebajikan rakyat.

Dalam perutusan khas Hari Kebangsaan ke-63 itu juga, beliau turut  menjelaskan, sebuah kerajaan yang baik mestilah sentiasa prihatin kepada rakyat termasuklah ketika berhadapan wabak COVID-19 dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk dimanfaatkan.

Selain itu, Bantuan Prihatin Nasional, moratorium bayaran pinjaman bank, bantuan kemudahan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana, subsidi upah dan lain-lain bentuk bantuan berjumlah RM260 bilion keseluruhannya disediakan untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat di samping pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau Penjana yang berjumlah RM35 bilion.

Perdana Menteri juga memaklumkan langkah itu sudah membuahkan hasil hari ini apabila sektor ekonomi negara telah mula rancak dengan lebih 15 juta pekerja kembali berkhidmat selain penurunan trend kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada bulan Mei 2020 kepada 4.9 peratus pada Jun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas