Personaliti

Anak PA dipilih Tokoh Belia Lelaki Terbaik 2020

|||
- Diterbit 9 Oktober 2020 9:32 AM MYT

MEMBESAR dalam kawasan Projek Perumahan Awam (PA) Seri Kelantan, anak muda ini berjaya membuktikan dengan kesungguhan dan kecekalan, beliau telah berjaya membuktikan bahawa anak PA boleh berjaya malah turut menyumbang kepada orang lain melalui aktiviti sukarelawan dan pertubuhan belia.

Pemegang Anugerah Dato’ Seri Aminuddin Baki, Tokoh Belia Lelaki Terbaik 2020 yang dianugerahkan kepada Muhammad Dzulkarnain Roslan menjadikan beliau lebih matang kerana anugerah yang diterimanya adalah datang dengan tanggungjawab yang berat.

“Sejujurnya, anugerah ini sangat berat kerana ia mendedahkan saya untuk bekerja dengan lebih baik daripada sebelum ini.

“Anugerah ini juga turut meletakkan satu penanda aras bahawa saya perlu membangunkan lebih ramai lagi golongan belia dan remaja yang datang dari kawasan PPR dan PA di sekitar Kuala Lumpur,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Bergiat aktif dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan sejak tahun 2013 sebagai Naib Pengerusi 2, Muhammad Dzulkarnain berkata, penglibatannya di dalam pertubuhan belia dan GPMS adalah atas dorongan dan kesedaran untuk memajukan anak bangsa dalam pelbagai bidang termasuklah peluang pendidikan.

“Saya memahami selok belok kehidupan dalam kawasan PA dan PPR, melalui GPMS saya dapat membantu membentuk generasi muda dalam aktiviti yang berfaedah agar tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif.

“Selain itu, kami di GPMS turut menjalankan aktiviti yang menjurus kepada perpaduan agar keamanan yang dikecapi dapat dipelihara bersama-sama dengan kaum lain,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) menasihatkan kepada golongan remaja dan belia khususnya yang menghuni di PPR dan PA untuk sentiasa bersedia belajar dan bijak mencari peluang untuk memajukan diri.

“Kita perlu keluar dari zon selesa, jangan terperuk menunggu bulan jatuh ke riba jikalau bukan kita yang mengubahnya siapa lagi.

“Saya lahir dan membesar di PA, saya cuba tunjuk bukan semua belia di PA dan PPR ini rosak. Masih ada yang berjaya tetapi disebabkan stigma masyarakat yang memandang lekeh pada belia ini yang membuatkan mereka tersisih.

“Saya ingin menyeru kepada semua belia PPR, agar berani menempuh cabaran untuk terus maju ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Agung Tahunan GPMS Wilayah Persekutuan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah yang diwakili Setiausaha Sulit Kanannya, Mohd Azim Harun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas