Personaliti

Maitul berbakti melalui aktiviti kebajikan

- Diterbit 9 Oktober 2020 9:36 AM MYT

PELUANG memanfaatkan usia muda melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan telah membuka minda wanita muda ini untuk menyelami kehidupan masyarakat yang memerlukan.

Melalui Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan (GPMSWP) Jumaitul Laily Zakiah Ismail, 30, atau lebih mesra dengan panggilan Maitul telah diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Exco Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HEWA GPMSWP) bagi membantu melaksanakan program yang berkesesuaian bersama masyarakat khususnya golongan wanita muda.

Mengakui terkejut ketika namanya diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Belia Wanita Terbaik 2020, Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Maitul berkata, pembabitannya bersama GPMS hanya untuk menyumbang bakti kepada masyarakat bagi meningkatkan keupayaan mereka.

“Sejujurnya, saya masih baru bersama GPMS dan platform yang disediakan membolehkan saya untuk menyumbang kepada golongan pelajar dalam kawasan Wilayah Persekutuan.

“Aktiviti yang dijalankan pula menjurus kepada wanita muda yang telah berpisah dalam bentuk motivasi serta beberapa program santai untuk golongan anak muda dan program pendidikan ‘Diari Solehah’, katanya kepada Wilayahku.

Selain daripada program khusus untuk wanita muda, Maitul pernah menganjurkan beberapa program yang turut melibatkan golongan pelajar dan juga kanak-kanak.

“Antara program yang dilaksanakan adalah Hiking Santai Anak Merdeka yang melibatkan golongan belia di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, saya turut melaksanakan program mingguan untuk golongan remaja di Kafeteen, Presint 16 dan peserta yang menyertai program ini adalah dalam lingkungan umur 16 tahun dan 17 tahun,” katanya.

Beliau yang juga Pengurus Kafe Karyabhara turut aktif ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa tempoh awal negara dilanda badai pandemik COVID-19.

“Ketika itu, saya menyertai Pasukan COVID-19 GPMS WP yang diketuai oleh Pengerusi GPMSWP, Khairul Rizam Abu Samah dan juga Biro Sekreteriat HEWA, Durrah Nur Fatin Azhari dan mengagihkan bantuan kepada orang ramai yang terjejas.

“Saya turut terlibat dalam melaksanakan program Manisan Ramadhan, Kacau Bubur Manis anjuran Biro HEWA GPMSWP dan mengagihkan kepada semua cawangan GPMSWP serta orang ramai,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif menasihatkan kepada anak muda untuk sentiasa perbetulkan niat dalam setiap perbuatan dan amalan.

“Sebagai anak muda, kita perlulah sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keadaan sekalipun dan sentiasa berfikiran lebih matang dalam pelbagai aspek agar tidak melakukan sesuatu perkara yang sia-sia.

“Orang muda juga perlu meningkatkan keupayaan diri sendiri dengan sentiasa mempelajari ilmu dan kemahiran baru agar dapat membimbing generasi yang akan datang supaya menjadi lebih proaktif dan berhemah,” katanya yang turut merangkul dua lagi anugerah iaitu Anugerah Pasukan COVID-19 kategori Misi Khidmat Siswa dan Kategori Sembang Orang Key-Ell COVID-19.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas