Berita

Aisyah janji aksi terbaik SUKMA terakhir

AISYAH (kanan) bersama Aimi bakal ke Sukan SEA Mei ini
- Diterbit 11 April 2022 4:07 AM MYT

ATLET kayak Wilayah Persekutuan, Aisyah Farhanah Azwan, 22, mengakui teruja untuk beraksi dalam SUKMA pada September ini setelah beberapa kali ditunda ekoran wabak COVID-19 yang melanda negara.

Alhamdulillah akhirnya saya dapat turut serta setelah lama menanti perkhabaran gembira ini. Insya-Allah saya akan lakukan terbaik untuk mendapat kedudukan pertama memandangkan ini tahun terakhir ke SUKMA,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam masa yang sama, Aisyah berkata dia terkejut apabila sukan kayak dipertandingkan kerana sebelum ini sukan tersebut merupakan sukan pilihan.

“Rasa bersyukur sangat akhirnya impian saya tercapai. Masa tengok senarai sukan yang dipertandingkan saya macam tak percaya. Cuma sekarang saya masih menanti acara mana satu samada K1, K2 atau sebagainya,” ujarnya yang kini sedang giat menjalani latihan.

Bercerita lanjut tentang sesi latihan sepanjang bulan puasa, anak bongsu daripada enam orang adik-beradik ini mengakui ia agak mencabar memandangkan latihan diadakan pada sebelah malam.

“Kalau berlatih waktu malam, kita kena lebih berhati-hati kerana banyak faktor keselamatan yang perlu dititik beratkan. Sebagai contoh, agak bahaya kalau kita terjatuh dan sebagainya namun setakat ini tiada lagi kejadian yang tidak diingini.

“Dalam bulan puasa ini, ada juga latihan sebelah petang sebelum berbuka puasa namun agak penat sedikit berbanding hari biasa,” ujarnya yang menjalani enam kali sesi latihan dalam masa seminggu.

Berkongsi khabar gembira, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini berkata, dia juga terpilih untuk ke Sukan SEA Vietnam pada Mei ini.

“Sebelum ke SUKMA saya akan cuba yang terbaik untuk mengaharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Insya-Allah saya akan beraksi dalam acara K2 bersama pasangan yang juga merupakan kakak saya, Aimi Ayuni.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar dan diharapkan semuanya dipermudahkan,” ujarnya yang turut mengakui gabungan tersebut cukup istimewa kerana mereka saling memahami antara satu sama lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas