Utama

Tiada lagi kenaikan tol di Lembah Klang

PENSTRUKTURAN Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) selaras prinsip Keluarga Malaysia yang sentiasa mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat.
- Diterbit 11 April 2022 6:00 AM MYT

TERIMA kasih PM, itulah reaksi rata-rata penduduk Lembah Klang yang kini tidak akan dibebankan lagi dengan kenaikan kadar tol selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Isnin lalu.

Ismail memberitahu berita gembira tiada kenaikan kadar tol di empat lebuh raya berkenaan sehingga tamat tempoh konsesi, sekali gus bakal memberi penjimatan bayaran pampasan dari 1 Januari lalu yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

Sebaliknya, sebuah syarikat yang bukan berasaskan keuntungan dan dianggotai tokoh-tokoh korporat negara ditubuhkan untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya.

Rancangan tersebut dilihat sebagai satu langkah penyelesaian isu konsesi tol negara yang merupakan isu legasi peninggalan pentadbiran bekas Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) yang dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd Zainol, akan mengambil alih Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, ketika memperincikan perkara itu berkata, penstrukturan semula menerusi kaedah itu menyaksikan tiada lagi pemegang saham dalam apa juga bentuk seperti dividen.

Jelasnya, pemegang saham sedia ada dalam konsesi semasa empat lebuh raya berkenaan, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), Permodalan Nasional Berhad Malaysia (PNBM) dan Lembaga Tabung Haji akan mendapat pulangan pelaburan lebih awal daripada sepatutnya.

“Kerajaan juga tidak boleh mengabaikan kewajipannya dalam perjanjian konsesi sedia ada kerana ia akan memberikan imej negatif kepada pelabur yang akan menyebabkan kekurangan minat pelabur untuk melabur di Malaysia.

“Jika ini berlaku, pelaburan dalam negara akan berkurang dan menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran, selaras dasar penswastaan yang mana syarikat swasta masih bertanggungjawab mengendalikan operasi serta menyelenggara lebuh raya berkenaan.

“Kerajaan juga memastikan ALR perlu menyerap semua kakitangan sedia ada yang sedang berkhidmat di bawah keempat-empat syarikat konsesi berkaitan.

“Dengan itu, tiada isu pembuangan pekerja berhubung cadangan penstrukturan ini, justeru status bagi semua pekerja di bawah syarikat konsesi ini adalah terjamin,” katanya.

Beliau berkata, amanat dan prinsip penstrukturan ALR selaras prinsip Keluarga Malaysia yang sentiasa mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat.

“Usaha ALR untuk memuktamadkan pembelian syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ini adalah suatu inisiatif cadangan penstrukturan daripada pihak swasta yang memberikan situasi menang-menang serta menguntungkan kerajaan dan rakyat.

“Kerajaan mengalu-alukan pihak swasta untuk tampil dengan terma sedemikian, di mana tiada sebarang kenaikan kadar tol dan pihak syarikat konsesi akan memulangkan lebuh raya kepada kerajaan sejurus melunaskan hutang kewangannya.

“Penambahbaikan ini bakal memberikan kelegaan kepada rakyat di samping memenuhi kewajipan pelabur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas