Berita

MCMC tingkat kualiti telekomunikasi Istana Negara

ALYAS (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin
- Diterbit 11 April 2022 3:45 AM MYT

PENGARAH Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Wilayah Persekutuan, Alyas Roy Amir mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin di Istana Negara Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua belah pihak membincangkan usaha menambah baik kualiti perkhidmatan telekomunikasi khususnya di perkarangan kompleks Istana Negara, Kuala Lumpur.

Selain itu, di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), MCMC juga akan memastikan syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi bukan sahaja perlu menyediakan infrastruktur telekomunikasi tetapi juga perlu menyediakan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi kepada pengguna pada tahap yang terbaik.

Dalam pada itu, pihak pengurusan tertinggi Istana Negara menyambut baik tindakan proaktif MCMC dalam menjayakan usaha ini.

Terdahulu, pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha MCMC Pejabat Wilayah Persekutuan untuk menjalinkan kerjasama strategik antara pihak kementerian dan agensi kerajaan di Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan pandangan dan input berkaitan isu-isu pembangunan telekomunikasi di seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan.

Turut hadir dalam pertemuan hampir dua jam tersebut ialah Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan pegawai-pegawai kanan Istana Negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas