Sekilas

Aishah jatuh hati dengan tugas sukarelawan

RELA berkorban masa dan tenaga demi APM.
- Diterbit 12 Julai 2020 4:50 AM MYT

BIARPUN baru berusia 21 tahun namun ia bukan menjadi alasan buat Siti Nuraishah Abdullah untuk menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan di Angkatan Pertahanan Awam (APM), Putrajaya.

Sanggup mengetepikan keseronokan zaman remajanya, gadis yang bertugas sebagai Angkatan Sukarelawan Tugas Pejabat ini rela menghabiskan masa hujung minggunya demi mengabdikan diri dalam kerja-kerja kebajikan yang biasanya dipelopori kaum lelaki.

Latar belakang bapanya sebagai seorang tentera sedikit sebanyak menjadikannya seorang yang tegas dan mementingkan disiplin diri sekali gus membawanya ke bidang yang lasak seperti hari ini.

Bercerita lanjut tentang tugas sukarelawannya itu, anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini memulakan tugas dua tahun lalu di Pusat Kawalan Operasi Daerah Putrajaya (PKOD) yang terletak di Presint 15, Putrajaya.

“Kebiasaannya saya mula bekerja pada pukul 8 pagi hingga 5 petang untuk memantau sebarang kes-kes kemalangan yang memerlukan bantuan. Pun begitu, ia bergantung kepada keadaan yang
mana saya sering bekerja lebih masa,” ujarnya.

Ceritanya lagi, biarpun bercuti pada hujung minggu namun dia sentiasa bersedia untuk turun ke lokasi kejadian bagi membantu anggota lain menyelesaikan tugas-tugas di lokasi kemalangan.

“Dengan latihan yang diterima, saya sedia menjalankan tugas di luar tugasan hakiki di pejabat. Sebagai seorang anggota APM, kami dibekalkan dengan ilmu dan latihan untuk memastikan kerja-kerja menyelamat berjalan lancar,” katanya.

Berkongsi pengalaman sepanjang bertugas, menurut bekas pelajar Global Institute Of Studies, Nilai ini, dia pernah turun ke lokasi kemalangan jalan raya di Puchong Perdana pada tahun 2018.

“Itu merupakan kali pertama saya turun bagi kerja-kerja menyelamat memandangkan ketika itu anggota tidak mencukupi. Kemalangan jalan raya ketika itu melibatkan sebuah lori dan penunggang motosikal.

“Saat tiba di situ, saya lihat mangsa masih bergerak tetapi kecederaan parah di kepalanya membuatkan darah mengalir laju. Ketika itu juga, saya baru sedar bahawa saya alah pada darah sehingga boleh menyebabkan saya pitam.

“Namun disebabkan tugas, saya cuba untuk mengawal diri dan bersikap seperti biasa. Pun begitu, kecederaan parah mangsa mengakibatkan dia mati di tempat kejadian. Hal tersebut berlaku betul-betul di hadapan mata dan membuatkan saya terpaku,” ujarnya.

Tambahnya lagi, peristiwa tersebut juga membuatkannya lebih berani untuk berdepan dengan kemalangan ngeri. Malah ia juga turut memberinya kekuatan untuk terus berkhidmat sebagai APM sehingga ke akhir hayat.

“Sejujurnya saya sudah jatuh hati dengan kerjaya ini dan akan memastikan untuk terus berada pada tahap yang membanggakan diri dan keluarga suatu hari nanti,” kata Siti Nuraishah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas