WK2

Tanaman herba bisnes menguntungkan

LADANG Herba Misai Kucing di Projek Pembangunan Tanaman Herba Integrasi Berkelompok di Dungun, Terengganu. LADANG Herba Misai Kucing di Projek Pembangunan Tanaman Herba Integrasi Berkelompok di Dungun, Terengganu.
- Diterbit 12 Julai 2020 6:00 AM MYT

SEBUT sahaja tanaman herba, pasti ramai yang memandang enteng kerana menyangkakan ia sekadar tumbuhan ‘kampung’ dan tidak dapat dikomersialkan.

Namun hakikatnya, tumbuhan herba boleh memberi keuntungan berlipat ganda kepada pengusahanya.

Ini kerana, herba mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dalam kehidupan harian sama ada berkaitan kesihatan, produk kecantikan mahupun masakan.

MUHAMMAD RIDHWAN

Ketua Pejabat Pembangunan Herba (HDO), Bahagian Industri Tanaman, Ternakan dan Perikanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA), Muhammad Ridhwan Azizan berkata, industri herba memberi keuntungan kepada pengusaha jika dilakukan dengan langkah yang betul.

Jelas beliau, sehingga kini, masih tidak ramai yang berminat atau mahu menceburi bidang tanaman herba walaupun memberi pulangan yang banyak.

“Mungkin mereka tidak tahu produk yang boleh dihasilkan menggunakan bahan herba. Untuk pengetahuan umum, sebanyak 25 produk farmaseutikal berasaskan herba akan dihasilkan menjelang tahun 2025 di bawah Projek Pemacu Pertanian MOA.

“Produk-produk ini menjalani ujian praklinikal dan klinikal serta mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pasaran tempatan dan luar negara,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Ridhwan memberitahu, sehingga 23 Jun lalu, seramai 979
pengusaha tanaman herba dengan keluasan tanah 906.3 hektar telah dibantu di seluruh
negara menerusi Program Pembangunan Kluster Herba oleh Jabatan Pertanian Malaysia (DOA).

PRODUK berasaskan Moringa.

Ujarnya, Kursus Tanaman Herba Terpilih dijangka akan diadakan pada Ogos 2020 ini dan diadakan oleh DOA.

Bercerita lanjut tentang penglibatan warga kota khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ketua HDO ini menyatakan penyertaan kurang daripada golongan tersebut disebabkan
faktor ketiadaan tanah pertanian.

Namun, beliau tidak menafikan ramai yang berminat untuk menceburi bidang pertanian
kerana terdapat warga kota yang membeli tanah di negeri lain bagi merealisasikan hasrat
pertanian.

“Malaysia mempunyai kira-kira 2,000 spesis herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, halia
dan cucur atap. Hanya beberapa spesis sahaja yang dikomersialkan dan diolah menjadi produk.

“Justeru, orang ramai diseru untuk mengambil peluang yang ada dan mengikuti kursus berkaitan supaya pelbagai lagi produk berasaskan herba dapat dikomersialkan,” ujar
beliau yang mahu lebih banyak pengusaha herba di seluruh negara.

Selain itu, jelas Muhammad Ridhwan kebanyakan warga kota lebih tertumpu pada
perusahaan industri kecil sederhana (IKS) termasuk permborong herba segar dari pasar utama antaranya Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Borong Raja Bot (Chow Kit) dan Pasar
Borong Selangor.

“Pengusaha-pengusaha di Wilayah Persekutuan ini adalah seperti pengilang produk ubatan tradisional dan pemprosesan.

“Manakala bagi pemborong herba segar pula adalah mereka yang mendapatkan serai, kunyit, halia, rosell dan limau purut,” jelasnya yang berpengalaman dalam bidang herba.

LADANG Tongkat Ali.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas