Berita

ADELA Gold mahu kuasai pasaran minyak masak

SHAMIM (kanan) melancarkan Adela Gold, produk terbaharu Delima Oil di Pusat Membeli Belah Mytown, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 18 Oktober 2019 5:39 AM MYT

KUALA LUMPUR – Anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOP), pengeluar minyak masak terkemuka negara memperkenalkan produk terbaharunya, ADELA Gold khusus untuk masakan gorengan dan tumisan sebagai usaha mempelbagaikan rangkaian produknya.

Ketua Pegawai Eksekutif DOP, Shammim Azad Kamruzaman berkata, pengenalan produk baharu itu merupakan sebahagian daripada perancangan FGV Holdings Bhd. untuk memperluaskan lagi perniagaan hiliran dengan memasuki pasaran dan mencapai pengguna baharu.

“Sebanyak 20 peratus daripada pasaran minyak masak tempatan terdiri daripada kategori minyak masak sebatian dan merupakan pasaran kedua terbesar.

“Dengan pengenalan ADELA Gold, DOP akan berada pada kedudukan yang kukuh untuk menembusi pasaran ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ADELA Gold di sini baru-baru ini.

ADELA Gold adalah gabungan unik minyak kelapa sawit, minyak kacang tanah dan minyak bijan yang sememangnya disukai untuk masakan beraroma gaya Asia.

Minyak masak sebatian baharu ‘gold standard’ itu boleh didapati di pasar raya Tesco, Giant, Aeon Big, Mydin, TF Value Mart, Aeon Co, Econsave dan The Store di seluruh negara dalam botol 1kg, 2kg dan 5kg.

Di bawah jenama ADELA, DOP juga menghasilkan produk seperti ADELA Canola Oil, ADELA Sunflower Oil, ADELA Campuran Sunflower dan Minyak Canola, ADELA Margarine dan ADELA Vanaspati.

Ujar Shammim, pihaknya meletakkan sasaran untuk membawa ADELA Gold menembusi pasaran negara ASEAN dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

“Kami optimis produk terbaru ini mampu memberi nilai tambah kepada hasil Kumpulan yang mana ia telah diuji dalam pasaran selama lima bulan lalu serta mendapat sambutan positif daripada pengguna,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas