Berita

Tiga restoran kotor, ada lipas dikenakan tindakan tutup sementara

AMINUDDIN melekatkan notis penutupan premis dalam operasi bersepadu PPJ di Kawasan Pangsapuri Putra Harnoni Presint 9. FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 18 Oktober 2019 8:27 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA – Selera sekumpulan pelanggan terbantut, apabila rupa-rupanya restoran yang menjadi tempat kegemaran mereka menikmati hidangan sebenarnya kotor dan berlipas.

Perkara itu berbongkar apabila sebanyak tiga restoran dikenakan tindakan tutup sementara kerana kotor dalam operasi bersepadu Perbadanan Putrajaya (PPj) di kawasan Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9 di sini semalam.

Dalam operasi diketuai Presiden PPj, Datuk Aminuddin Hassim sendiri, premis yang dikenakan notis tutup selama 14 hari itu diambil tindakan di bawah Akta Makanan 1983 dengan salah satunya turut menerima kompaun ekoran tamat permit perniagaan.

”Pemeriksaan mendapati premis terbabit kotor dan saya sendiri melihat lipas berkeliaran di restoran itu selain keadaan minyak yang tidak dibersihkan,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Turut serta dalam operasi itu, Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi dan Penolong Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran PPj, Azman Ahmad.

Seramai 30 pegawai Bahagian Kesihatan Persekitaran; Bahagian Penguatkuasaan; Bahagian Komersial; Pembangunan Perniagaan dan Perlesenan; Bahagian Alam Sekitar, Tasik dan Wetland; Bahagian Senibina dan Inspektorat Bangunan serta Jabatan Undang-Undang terlibat dalam operasi yang bermula pukul 2.30 petang itu.

Dalam operasi ke atas Ruang Niaga Kiosk D’Harmoni dan kawasan komersial Pangsapuri Putra Harmoni itu, sebanyak 13 premis makanan diperiksa di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) dan Akta Makanan 1983 dengan sebanyak enam kompaun dan dua notis amaran dikeluarkan.

Aminuddin berkata, meskipun notis penutupan diberikan selama 14 hari, sekiranya pemilik restoran dapat menyelesaikan kerja-kerja pembersihan dengan segera dan setelah pihak PPj berpuas hati, mereka dapat beroperasi semula lebih awal daripada tarikh tersebut.

”Peniaga pun faham tindakan tersebut adalah untuk membantu mereka memastikan premis makanan adalah bersih untuk orang ramai menjamu selera,” katanya.

Malah katanya, tindakan tersebut adalah bagi memastikan sisa makanan tidak masuk ke dalam longkang dan akhirnya mengalir ke dalam Tasik Putrajaya hingga boleh menyebabkan pencemaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, daripada 410 premis yang dilesenkan tahun ini, sejumlah 158 premis menerima penggredan A manakala 136 lagi mendapati gred B sepanjang Januari hingga September lalu.

”Sebanyak 74 kompaun dan 24 notis amaran telah dikeluarkan sepanjang tempoh itu,” katanya sambil menambah premis dikenakan gred C dikenakan tindakan tutup sementara.

Tambahnya, setakat ini, PPj telah membuat pemeriksaan ke atas 295 premis iaitu 72 peratus dan menjelang Disember ini, sebanyak 100 peratus premis akan diperiksa keseluruhannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas