Berita

Tampil ‘macho’ di NS Parlour Spa

HIASAN luaran NS Parlour
- Diterbit 18 Oktober 2019 5:32 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

SENARIO lelaki mengunjungi pusat kecantikan spa untuk memanjakan diri dengan rawatanrawatan yang ditawarkan bukanlah sesuatu yang luar biasa lagi. Ini kerana, mereka juga telah mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga dan mengekalkan penjagaan diri.

Justeru pada hari ini, kaum Adam dilihat tidak lokek mengeluarkan belanja dengan memilih rangkaian spa bagi memastikan kesihatan dalaman dan luaran serta ketrampilan diri terjaga.

Bagi anda yang mementingkan penjagaan diri, NS Parlour Spa ada jawapannya. Terletak di Desa Pinggiran Putra, spa yang berhampiran dengan Putrajaya ini menawarkan perawatan seperti urutan tradisional, refleksologi, penjagaan kaki dan sebagainya buat kaum lelaki.

RUANGAN untuk rawatan manicure dan pedicure.

Dengan bantuan ahli terapi terlatih, pelanggan pasti akan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan. Malah suasana spa yang tenang dengan haruman aromaterapi mampu menenangkan jiwa sekali gus melegakan ketegangan tubuh badan.

Menurut Pengasas NS Parlour, Najah Salwa Ismail, rata-rata pelanggan yang hadir memberi maklum balas yang positif terhadap rawatan yang disediakan terutamanya urutan tradisional lelaki yang terdapat di spa itu.

“Kami amat mementingkan kepuasan pelanggan. Untuk itu, hanya ahli terlatih dan berpengalaman sahaja yang disediakan agar pelanggan sendiri tidak berasa ragu-ragu untuk terus mendapatkan rawatan di sini lagi pada masa hadapan,” ujarnya.

Katanya, urutan adalah suatu seni yang sering dilakukan bukan sahaja masyarakat Melayu bahkan pelbagai bangsa sejak dari zaman dahulu lagi. Ia amat digalakkan bagi melancarkan peredaran darah serta mengurangkan tekanan emosi.

“Ahli terapi yang pakar akan mengetahui bahagian mana yang perlu diurut untuk melegakan ketegangan urat. Paling penting, mereka akan mencari urat yang betul dan tidak semestinya melakukan urutan pada bahagian yang lenguh atau sakit sahaja.

PELANGGAN boleh memilih rawatan facial secara manual atau menggunakan mesin di NS Parlour Spa.

“Rawatan yang dilakukan dalam keadaan santai di spa sambil ditemani muzik yang mendamaikan mampu melegakan fikiran yang berserabut setelah penat seharian bekerja,” ujarnya.

Tambahnya, NS Parlour Spa hanya menggunakan produk dari bahan semulajadi serta minyak aromaterapi agar pelanggan dapat berasa kesegaran selepas diurut dengan bantuan minyak aromaterapi.

Dengan serendah RM25, pelanggan turut disajikan dengan pelbagai rawatan lain antaranya 24K gold microneedling facial, manicure and pedicure, sauna, relaxing facial, hair treatment dan sebagainya.

Bercerita lanjut tentang spa miliknya itu, menurut Najah, ini merupakan tahun kelima ia beroperasi yang mana pada permulaannya NS Parlour Spa hanya memfokuskan perawatan untuk kaum wanita.

“Atas permintaan ramai, pada tahun 2017, kami menawarkan perawatan untuk kaum lelaki juga. Untuk itu, spa ini juga dibahagikan kepada dua bahagian bagi mengasingkan pelanggan wanita dan lelaki.

“Salah satu kelebihan yang ada di sini, pelanggan lebih mudah untuk hadir bersama pasangan, kedua-duanya boleh melakukan perawatan sambil menunggu antara satu sama lain,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas