Selebriti

Abang Siti Sarah ditidurkan, Shuib mohon doa

- Diterbit 12 Ogos 2021 10:04 PM MYT

PELAWAK popular dan usahawan, Shuib mendoakan semoga keadaan abang Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ahmad Firdous yang ditidurkan sejak jam 5 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang akibat positif COVID-19, kembali baik.

Menurut Shuib, dia menerima khabar terkini Firdous menerusi kakak iparnya.

“Siang tadi saya ada maklumkan di Instagram (IG) mengenai keadaan abang ipar yang telah dimasukkan ke ICU dan 5 pagi (semalam) dia sudah pun ditidurkan.

“Namun kira-kira jam 11.00 pagi tadi (semalam) kakak ipar hubungi dan memberitahu keadaannya pada tidak berapa baik.

“Doktor menjelaskan, situasinya hampir sama dengan arwah. Paru-parunya tidak baik. Sebab itulah saya tetap mahu teruskan sesi doa dan bacan Yaasin pada malam ini diteruskan,” katanya.

Shuib mendedahkan, hubungan arwah isteri dengan Firdous begitu rapat.

“Semoga Allah SWT memberi kemudahan kepadanya. Abang ipar dengan arwah sangat rapat dan dia baik orangnya. Cuma ketika dia tidak sihat, semangatnya agak lemah.

“Semoga bacaan Yassin dan doa pada malam ini, dia diberikan kekuatan untuk bangun dan berjuang, insyaAllah,” katanya.

Sementara itu, Shuib memberitahu dua pekerjanya disahkan positif COVID-19 itu seterusnya mendoakan yang baik-baik buat mereka yang sedang berjuang melawan wabak berkeaan.

Penyanyi popular Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Jenazah Allahyarham Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, jam 1.20 tengah hari Isnin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas