Selebriti

Ayash negatif COVID-19, berat badan bertambah – Shuib

- Diterbit 12 Ogos 2021 1:50 AM MYT

ALHAMDULILLAH berita gembira buat Shuib sekeluarga apabila anak bongsunya Ayash Affan negatif COVID-19.

Walaupun masih tidak dibenarkan melawat atas faktor keselamatan Ayash yang berusia enam hari, Shuib lega apabila anaknya itu semakin sihat dan bertambah berat badan.

“Alhamdulillah, selepas dua kali melakukan ujian calitan, Ayash negatif COVID-19. Harap ujian calitan kali ketiga nanti juga keputusannya turut negatif.

“Lebih melegakan saya apabila Ayash juga turut mengalami penambahan berat badan berbanding sewaktu dilahirkan pada iaitu 1.8 kilogram,” katanya Shuib pada majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual untuk Allahyarham Siti Sarah malam tadi.

Menurut doktor, Ayash mungkin akan dibenarkan dibawa pulang ke rumah dalam jangka masa sebulan dari sekarang.

“Kalau tiada sebarang masalah, insya Allah Ayash boleh pulang ke rumah dalam masa sebulan lagi. Abang dan kakaknya juga sudah banyak kali bertanya bila mereka boleh berjumpa dengan adiknya,” jelas Shuib yang belum berpeluang menatap wajah anaknya.

“Saya ada tanya kepada doktor, tetapi isunya, anak saya masih memakai topeng pernafasan, jadi doktor tak mahu saya sedih apabila tengok bayi dalam keadaan begitu.

“Lebih baik tunggu sehingga alat itu dibuka dahulu. Buat masa ini doktor tengah cuba untuk memberikan peluang kepada saya lihat keadaan bayi,” katanya yang sedang berusaha mencari susu ibu buat Ayash nanti atas saranan doktor.

Shuib berkata, ramai yang tampil mahu memberikan bantuan, namun semuanya perlu dirujuk kepada yang arif terlebih dahulu.

Menurut Shuib, antara individu yang menawarkan diri untuk memberikan susu badan kepada Ayash ialah isteri pelakon Shaheizy Sam iaitu Syatilla Melvin.

Terdahulu, isteri Shuib penyanyi Siti Sarah yang hamil tujuh bulan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada Isnin lalu.

Ayash dilahirkan secara pembedahan pada Jumaat minggu lalu (6 Ogos 2021) ketika arwah sedang ditidurkan akibat jangkitan COVID-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas