Selebriti

Nisha Dirr bersalin ‘induce’ tahan sakit 3 hari, akhirnya bayi lelaki selamat dilahirkan

- Diterbit 13 Ogos 2021 6:07 AM MYT

PELAKON Nisha Dirr,38, selamat melahirkan bayi lelaki pagi tadi setelah tiga hari menahan sakit kerana bersalin induce atau secara paksa, di Hospital Umra, Shah Alam, Selangor.

Ketika dihubungi, Nisha bercerita pengalamannya bersalin dan bersyukur kerana bayi selamat dilahirkan.

“Pada hari Rabu, saya dimasukkan ke wad dan diberikan induce pertama. Namun saya diberikan induce sekali lagi pada keesokannya.

“Hari Jumaat saya dimasukkan ke wad bersalin. Ingat dapat lahirkan bayi secara normal. Namun apabila doktor pecahkan air ketuban, air dah berwarna keruh. Itu bermaksud bayi sudah buang najisnya.

“Disebabkan risau bayi termakan najisnya sendiri, doktor ambil keputusan untuk lakukan pembedahan segera.

“Apa lagi, saya terus dikejarkan ke wad kecemasan untuk pembedahan. Doktor risau kalau apa-apa berlaku kepada bayi, jadi terpaksalah saya lahirkannya secara pembedahan,” katanya yang meluahkan rasa syukur bayinya yang diberi nama Tengku Ayden Tengku Kamirul Rashid berada dalam keadaan sihat.

Bagi Nisha, kesakitan selama tiga hari hilang sebaik sahaja menatap wajah Ayden.

“Alhamdulillahi rabbil alamin, pujian dan syukur saya serta suami panjatkan kepada Allah SWT atas barokah dan rahmatnya atas kelahiran anakanda kami pada hari Jumaat, 6hb Ogos 2021 dengan berat 3.25kg.

“Rasa sakit terus hilang apabila tengok wajah Ayden. Gembira tu lain macam Allah sahaja yang tahu.

“Sempena kelahiran anakanda kami pada hari Jumaat yang penuh barakah, kami telah memberikan nama anakanda kami Tengku Ayden Alauddin.

“ Ayden bermaksud berpendidikan, kebijaksanaan dan intelektual.
“Manakala Alauddin pula merujuk kepada ketinggian agama dan kemuliaan agama.

“Diiringi doa semoga menjadi anakanda yang soleh berbakti kepada agama, keluarga dan bangsa. Amin,” luahnya lagi.

Nisha Dirr atau nama sebenarnya Nik Shahri’ah Nik Dir berkahwin dengan ahli perniagaan Tengku Kamirul Rashid Tengku Mohd Kamil pada Julai 2020.

Sebelum ini Nisha pernah popular menerusi drama bersiri Spa Q, Waris Kasih, Gendola Cinta Di Venice, Cinta FB, dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas