Berita

DBKL kenal pasti tanah terbiar, rizab kerajaan untuk jayakan IPR – Mahadi

INISIATIF Pertanian Bandar mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan B40 dan dapat menangani masalah keterjaminan makanan.
- Diterbit 17 Mac 2023 5:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenal pasti tanah terbiar dan rizab milik kerajaan persekutuan yang boleh dijadikan kebun komuniti bagi mengembangkan inisiatif pertanian bandar dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan menambah pendapatan khususnya golongan B40.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, DBKL akan bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan untuk mengenal pasti lokasi tanah selain bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepakaran berkaitan.

Katanya, usaha dan komitmen anggota masyarakat dalam melaksanakan 40 projek pertanian komuniti sedia ada berjaya mengusahakan pelbagai tanaman yang boleh dinikmati oleh masyarakat.

“Lebih berfaedah sekiranya tanaman itu dijadikan sumber pendapatan tetap kepada anggota masyarakat terbabit yang mana tanaman segar dan berkualiti dapat dipasarkan kepada pihak yang memerlukan seperti Fama (Pihak Berkuasa Pemasaran Pertanian Persekutuan), restoran berhampiran dan pasaran,” katanya.

Mahadi berkata demikian pada Majlis Pelancaran Anugerah Kebun Komuniti Kuala Lumpur 2023 dan Buku Panduan Agenda Tempatan 21 (LA21) Mengenai Pelaksanaan Kebun Komuniti sempena Pesta Taman Kuala Lumpur pada Sabtu.

Jelasnya, DBKL telah membincangkan inisiatif itu dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini sambil menambah inisiatif tersebut membuka peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah selain ia juga dapat mengurangkan kos penyelenggaraan tanah terbiar.

Terdahulu, Mahadi menyerahkan anugerah kepada ahli komuniti yang terlibat dalam mengusahakan projek pertanian bandar di kawasan kejiranan mereka di bawah inisiatif LA21 KL City Community Garden yang bermula pada 2016. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas