Berita

Biasiswa Khazanah rai 158 penerima pencetus perubahan masa depan

- Diterbit 30 September 2021 3:34 AM MYT

SERAMAI 104 warga anak muda Malaysia dianugerahi Biasiswa Khazanah pada tahun ini manakala 54 penerima biasiswa sedia ada diiktiraf selepas mencatatkan prestasi cemerlang.

Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata Hari Anugerah Yayasan Khazanah 2021 diadakan secara maya buat pertama kali.

“Bertemakan ‘Memperkasa modal insan hari ini sebagai pencetus perubahan masa depan’, Hari Anugerah Yayasan Khazanah 2021 meraikan para penerima biasiswa yang layak dan diadakan secara maya buat pertama kali dalam usaha menjamin kesinambungan pendidikan anak-anak Malaysia.

“Daripada 104 penerima biasiswa baharu, 37 menerima Program Biasiswa Global Khazanah, 62 menerima Program Biasiswa Watan Khazanah, dan lima dipilih menyertai Program Biasiswa Lestari Khazanah yang diadakan buat julung kalinya,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Shahril turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah biasiswa dan berharap penerima mampu membawa impak positif berganda terhadap orang lain.

“Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah biasiswa Khazanah tahun ini. Kami percaya anda, sebagai para penerima Biasiswa Khazanah, berpotensi membawa impak positif berganda terhadap kehidupan insan lain.

“Seorang calon Biasiswa Khazanah sentiasa memberikan yang terbaik dan berusaha membawa manfaat. Beliau bersedia untuk menyumbang dan melakukan sesuatu yang bermakna, demi keluarga, masyarakat dan negara secara umumnya,”  ucapnya di Hari Anugerah Yayasan Khazanah 2021.

Penerima Biasiswa Khazanah Watan, Izzati Kausar, berkata bagi kebanyakkan pelajar Malaysia, biasiswa merupakan antara jalan keluar dari belenggu kemiskinan, terutamanya dalam kalangan B40.

“Saya dibesarkan oleh ibu yang menyara hidup keluarga kami dengan wang pencen semata-mata. Menyedari keadaan hidup kami, saya berusaha meningkatkan status sosioekonomi keluarga.

“Apabila saya mendapati Yayasan Khazanah memberi peluang mengikuti kursus lepasan ijazah, berbekalkan azam dan semangat yang kental, saya membuat keputusan untuk mencuba nasib dengan harapan ia akan dapat meringankan beban kewangan yang saya hadapi,” katanya yang akan mengikuti kursus Sarjana Mikrobiologi Perubatan di Universiti Malaya, sejajar dengan minatnya dalam kerja makmal dan aktiviti penyelidikan.

Manakala penerima Biasiswa Global Khazanah, Shveenita Alyza Kanapathy berasa amat bertuah untuk menerima anugerah berprestij ini dan sesuatu yang amat membanggakan.

Penerima sulung Biasiswa Lestari Khazanah, Dawn Scholastica Adrian percaya sokongan daripada Yayasan Khazanah membolehkannya menghampiri cita-citanya.

“Biasiswa ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan untuk mengikuti pengajian Sarjana, tetap ia turut bermakna buat saya bahawa ada sekumpulan insan yang yakin terhadap manfaat yang boleh saya berikan kepada Malaysia satu hari nanti.

“Di lima peringkat penilaian, saya berpeluang berkongsi dengan para penemu duga tentang impian saya mewujudkan peluang pendidikan saksama di Sarawak dan di seluruh Malaysia. Saya telah diberikan peluang berkongsi hasrat dan cita-cita saya kepada insan yang sedia melabur dalam diri saya dan masa depan saya.

“Saya percaya sokongan daripada Yayasan Khazanah membolehkan saya menghampiri cita-cita saya,” ujarnya yang akan mengikuti Pengajian Sarjana Pembangunan Pendidikan Antarabangsa di University of Pennsylvania, AS, dengan tumpuan kepada pendidikan di Sarawak.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata Program Biasiswa Watan Khazanah memberi peluang kepada rakyat muda Malaysia yang cemerlang dan berbakat untuk mengikuti pengajian Ijazah dan lepasan Ijazah di universiti tempatan terpilih.

Manakala Program Biasiswa Global Khazanah membolehkan pelajar mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM (sebagai persediaan bagi program Ijazah di universiti luar negara yang diluluskan) dan pengajian lepasan Ijazah di universiti terkemuka di serata dunia.

Tambahnya Program Biasiswa Lestari Khazanah, yang baru diperkenalkan pada bulan Jun tahun ini, berusaha merapatkan jurang bakat negara secara menyeluruh menerusi peluang mengikuti program akademik dan program pendidikan eksekutif dalam bidang pembangunan lestari agar memacu kemampuan dan kejayaan negara mencapai Matlamat Pembangunan Lestari 2030.

Shahril turut berbesar hati dengan kemajuan yang dicapai serta Yayasan Khazanah meraikan kejayaan tersebut.

“Kami amat berbesar hati untuk melihat kemajuan yang dicapai dan dicatatkan oleh para penerima biasiswa kami. Saya pasti pelbagai cabaran telah diharungi sepanjang perjalanan anda. Walau apa pun, anda telah berusaha dengan gigih dan kami meraikan kejayaan anda,” rumusnya.

Jelasnya lagi sejak diasaskan pada 2006, Biasiswa Khazanah telah memperkasakan sejumlah 1,129 penerima biasiswa untuk mengikuti pengajian dan menyemarakkan minat mereka untuk menjadi pencetus perubahan demi manfaat masyarakat dan negara.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Yayasan Khazanah: www.yayasankhazanah.com.my. – WILAYAHKU – DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas