Berita

Dakwaan DBKL mahu runtuhkan tokong adalah tidak benar -Jalaluddin

JALALUDDIN menyampaikan bakul makanan kepada golongan yang terkesan dalam Parlimen Segambut.
- Diterbit 29 September 2021 2:31 PM MYT

DAKWAAN bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu meruntuhkan bangunan tokong adalah tidak benar kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sebaliknya, Jalauddin berkata sebuah bangunan tambahan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan dibina dan telah mendapat kelulusan serta peruntukan daripada kerajaan sejak tahun 2018.

“Apabila peruntukan sudah ada, pembinaan ini bangunan tambahan yang menempatkan 24 bilik darjah perlu dilaksanakan dengan segera.

“Tentunya laluan keselamatan bagi lori dan kenderaan industri untuk memasuki kawasan ini perlu diatur dengan baik supaya masyarakat sekitar tidak terjejas dengan wujudnya pembinaan yang bakal dilakukan di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, pihak DBKL dan Kementerian Pendidikan (MoE) telah melihat bahawa laluan yang sedia ada perlu dijadikan sebagai laluan untuk kenderaan industri ke tapak pembinaan.

“Oleh yang demikian, DBKL telah mengeluarkan beberapa notis supaya laluan ini dijadikan sebagai laluan industri kerana ia sememangnya adalah laluan sebenar.

“Cumanya kita hendak buka pagar dan pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) dan kontraktor hendak membina pagar penghadang (hoarding) untuk memastikan keselamatan pelajar dan orang ramai yang melalui kawasan itu ketika pembinaan dijalankan nanti,” katanya.

Ujarnya, tindakan tersebut bukan lah meruntuhkan tokong malah ia tidak akan mengusik struktur tokong tersebut dan berkemungkinan beberapa kawasan jalan tersebut terjejas dan akan diperbaiki setelah pembinaan bangunan kelas siap sepenuhnya.

Jalaluddin berkata, semua pihak harus memberikan sokongan dan kerjasama kepada mana-mana pembangunan yang boleh memberikan kebajikan kepada masa depan generasi akan datang.

“Ini (projek) adalah untuk kepentingan masyarakat cina di kawasan itu. Apatah lagi anak-anak atau sekolah itu untuk masyarakat sekitar yang majoritinya untuk kaum cina.

“Jadi saya mengharapkan supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan segera dalam menangani masalah ini dan kita harap perkara ini tidak berlaku untuk masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Jalaluddin menegaskan bahawa perpaduan antara kaum sangat penting dalam menterjemah semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang menjadi panduan kepada negara pada ketika ini.

“Soal agama, rumah ibadat atau apa-apa soal yang berkaitan dengan fahaman agama masing-masing perlu dijaga semua pihak terutama pemimpin-pemimpin masyarakat dan ketua-ketua rumah ibadat yang berkenaan.

“Jadi kerana itu, saya harap peristiwa yang berlaku di Cheras semalam tidak berulang lagi dan ia adalah salah faham.

“Apabila berlakunya perkara sedimikian, ia mendatangkan banyak kesan sampingan dalam kalangan masayrakat terutamanya didalam kita menterjemahkan semangat ‘Keluarga Malaysia’,” ujarnya.

Terdahulu, dalam video pada 29 September lalu yang berdurasi 76 saat telah dikongsi di laman Facebook Tokong Wong Low Shen See Chee How telah menunjukkan seolah-olah pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat tersebut sehingga menimbulkan persepsi negatif dan kegusaran awam.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas