Berita

DBKL akan umum keputusan larangan penjualan arak hari ini

SHAHIDAN ketika sidang media selepas hadir pada program Turun Padang Usahawan Kreatif di Kompleks Muhibbah, Kuala Lumpur.
- Diterbit 30 September 2021 3:39 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memuktamadkan penguatkuasaan larangan tersebut dalam satu mesyuarat yang akan bersidang hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, mesyuarat tersebut yang akan bersidang oleh Lembaga Eksais DBKL dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Projek Khas yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut.

“Diaorang (jawatankuasa Lembaga Eksais) yang bermesyuarat hari ini akan putuskan nanti.

“Ada perkara yang memerlukan kehadiran menteri dan ada perkara boleh putuskan di peringkat pegawai sahaja. Biasanya ada campur tangan menteri apabila ia tidak dapat diputuskan (hasil perbincangan).

“Bagaimanapun (keputusan mesyuarat) akan diumumkan sebelum tempoh. Masanya tiba, sebelum esok akan diberitahu nanti keputusannya,” katanya kepada pemberita selepas Program Turun Padang Usahawan Kreatif di Kompleks Muhibah di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar dan Pengarah Eksekutif DBKL, Anwar Md Zain.

Beberapa sesi perbincangan, mesyuarat dan bengkel telah diadakan dalam penyediaan garis panduan ini yang melibatkan beberapa agensi kerajaan berkaitan.

Antara agensi yang terlibat adalah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP); Kementerian Kesihatan (KKM); Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (KASTAM); Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS);Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan turut melibatkan pihak berkepentingan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Garis panduan mengenai penjualan liquor ini telah dimuktamadkan pada 7 November 2020 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Projek Khas yang dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, pada 19 November 2020, Pengerusi Lembaga Eksasis DBKL, Datuk Lau Beng Wai dalam satu kenyataan berkata, garis panduan yang diperkenalkan ini tidak menyekat hak penjualan dan pembelian liquor di ibu kota.

“Ianya masih boleh dijual dan dibeli di premis khusus menjual liquor seperti di bawah LMK Rumah Awam Kelas 1 termasuk di Pub/Bar/Lounge/Restoran malahan di bawah LMK Runcit seperti Pasaraya/Hypermart yg berada di Kompleks Perdagangan.

“Manakala bagi penjualan liquor campuran atau “pure” yang bertujuan atau dikategorikan untuk tujuan ubatan tradisional oleh KKM juga masih boleh dijual di kedai ubat cina,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, sekiranya kedai ubatan cina ingin menjual jenis liquor yang lain, mereka boleh memohon kebenaran melalui KKM dengan justifikasi jualan dan DBKL tiada halangan sekiranya KKM mengesahkan jenis liquor tersebut.

“Selain daripada itu, LMK sementara boleh dikeluarkan bagi aktiviti promosi/acara yang menghidangkan bir/liquor dan juga di musim perayaan.

“Penjualan bir di Kedai Runcit/Kedai Serbaneka/Kedai Ubat Cina juga masih dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti masa jualan, ruang penjualan dan had umur pembeli,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas