Berita

88 masjid, surau Jumaat Wilayah Persekutuan dinyahkuman

PROSES Disinfeksi dilakukan di beberapa buah masjid dan surau Jumaat Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 21 Mac 2020 1:50 AM MYT

PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama masjid dan semua surau Jumaat di Wilayah Persekutuan giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta Proses Disinfeksi (nyahkuman) bermula 18 Mac lalu sebagai usaha mencegah penularan wabak Covid-19 di negara ini.

JAWI dalam satu kenyataan memaklumkan, aktiviti tersebut akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

“Kerja-kerja Disinfeksi ini akan melibatkan 88 buah masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta seluruh surau Jumaat yang berdaftar dengan JAWI.

“Sehingga kini, 61 buah masjid dan 29 buah surau Jumaat telah melalui proses ini,” katanya.

JAWI turut menyatakan, masjid-masjid dan surau Jumaat yang menjalankan proses berkenaan perlu mematuhi serta menggunakan peralatan yang sesuai berpandukan nasihat dan garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri atau Kementerian Kesihatan (KKM).

Tambah kenyataan itu, proses tersebut amat penting demi memastikan kebersihan kawasan persekitaran masjid dan surau yang berkemungkinan terdedah kepada virus Covid-19, memandangkan institusi terbabit sebelumnya menjadi tempat berkumpul masyarakat untuk menunaikan solat berjemaah serta aktiviti-aktiviti pengimarahan yang lain.

“Semoga tindakan pantas yang diambil ini dapat memberikan keyakinan kepada anak-anak kariah masjid serta surau Jumaat berkaitan dalam membantu mencegah penularan wabak Covid-19,” katanya. – WILAYAHKU

JAWI melakukan kerja-kerja nyahkuman di 88 buah masjid dan surau Jumaat seluruh Wilayah Persekutuan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas