Berita

Larangan eksport topeng muka diwartakan

Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport)(Pindaan) (No. 2) 2020 telah diwartakan di bawah Akta Kastam 1967, semalam.
Gambar hiasan
- Diterbit 21 Mac 2020 2:10 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan mewartakan larangan eksport topeng muka ke luar negara manakala membenarkan import topeng muka bagi meningkatkan bekalan bahan itu di pasaran tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan amat perihatin dengan kekurangan bekalan topeng muka di pasaran.

Sehubungan itu, ujar beliau, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport)(Pindaan) (No. 2) 2020 telah diwartakan di bawah Akta Kastam 1967, semalam.

“Justeru segala eksport topeng muka ke luar negara tidak dibenarkan. Kerajaan juga melaksanakan sesi libat-urus dengan pengeluar topeng muka tempatan.

“Walaubagaimanapun, harga bahan mentah topeng muka yang 90 peratus diimport dari luar negara meningkat ke tahap yang tidak ekonomikal untuk pengeluaran dan pasaran runcit sejak wabak Covid-19 melanda dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Alexander, kesemua empat buah kilang pengeluar topeng muka tempatan juga bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran dan bekalan domestik, namun masih tidak mencukupi untuk sektor kesihatan serta barisan hadapan yang mengurus dan merawat pesakit yang perlu diberi keutamaan terutama selepas gelombang kedua Covid-19 di negara ini.

Ujar beliau, dengan menetapkan harga siling baru topeng muka yang telah berkuat kuasa sejak 2009, pengeluar tempatan dan pengimport akan dapat meningkatkan bekalan topeng muka untuk keperluan tempatan.

Tambah beliau, harga baru itu telah diwartakan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) 2020, semalam. – WILAYAHKU

Jadual harga baru topeng muka adalah seperti berikut:

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas