Berita

Kerjasama PDRM, ATM tanda keseriusan tangani Covid-19

- Diterbit 20 Mac 2020 3:53 PM MYT

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menyatakan, perkara itu adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sesi sidang media khas di Putrajaya hari ini.

“ATM akan diaturgerakkan membantu PDRM mulai 22 Mac ini (Ahad).

“Atur gerak ini membolehkan penguatkuasaan PKP dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan rakyat mematuhi arahan yang dikeluarkan serta dapat melihat keberkesanan langkah ini melalui kolaborasi dua agensi keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Affendi berkata, kerjasama ATM dan PDRM ini juga dilihat sebagai salah satu usaha serius kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Tambahan, jumlah mereka yang positif dijangkiti wabak ini semakin meningkat dari hari ke hari, jelas beliau.

Beliau menyatakan, ATM dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara akan membantu PDRM dari segi pelaksanaan rondaan bersama serta penugasan lain yang bersesuaian juga dilaksanakan secara bersama di seluruh Malaysia.

“Kolaborasi ini akan memantapkan lagi penugasan serta kerjasama di antara ATM dan PDRM.

“Ia juga merupakan antara peranan sekunder ATM ketika waktu aman iaitu membantu pihak berkuasa awam dalam memelihara keamanan negara,” kata beliau.

Justeru kata Affendi, orang ramai dinasihatkan agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada ATM dan PDRM dalam penguatkuasaan PKP agar tidak menimbulkan sebarang permasalahan yang boleh merumitkan keadaan.

“Jangan menimbulkan sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam,” tegas beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas