Berita

653 bekas kakitangan JASA tuntut hak

|ZAINAL FITRI
- Diterbit 24 Jun 2020 1:32 PM MYT

BEKAS kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang ditamatkan perkhidmatan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, memohon diserap semula dalam perjawatan.

ZAINAL FITRI

Perkara itu disuarakan salah seorang bekas kakitangan JASA, Zainal Fitri Mohamed, 46, selepas menyerahkan memorandum cadangan pengambilan semula kakitangan JASA di KKMM petang tadi.

Ujarnya, cadangan tersebut diutarakan berikutan agensi khas itu telah diaktifkan kembali.

“Pelbagai persepsi diberikan terhadap bekas kakitangan JASA, ada yang menyangka kami (diambil bekerja) lantikan politik, walhal mana-mana individu yang dilantik adalah sama seperti penjawat awam yang lain.

“Kami juga perlu melalui ujian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum disahkan dalam jawatan dan berkhidmat dengan JASA,” katanya kepada Wilayahku petang tadi.

Menurut Zainal Fitri, pemberhentian tersebut melibatkan kira-kira 1,200 pegawai dan anggota JASA di seluruh Malaysia termasuk kakitangan yang telah berkhidmat lebih 15 tahun dan perjawatan tetap.

Bagaimanapun, jelasnya, selepas 22 bulan, hanya 653 kakitangan yang dapat dikesan dan kesemua nama tersebut telah dicadangkan kepada kementerian untuk disemak serta diambil bekerja.

Mengulas lanjut tentang cadangan pengambilan semula kakitangan JASA, ujar Zainal Fitri, selepas menyerahkan memorandum tersebut, dia menerima maklum balas positif daripada wakil KKMM.

“Tiada masa yang diberikan, namun pihak mereka berjanji akan memberi maklum balas tentang keputusan cadangan dalam kadar segera sejurus isu berkaitan diselesaikan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas