Berita

9 PATI dicekup di Kiansam

9 PATI ditahan di Kiansam.
- Diterbit 25 Jun 2020 2:52 AM MYT

SERAMAI sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam dua serbuan serentak di sekitar kawasan penempatan Kiansam, awal pagi Rabu.

MUHAMAD FARID

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kesemua yang ditangkap berumur antara 12 hingga 42 tahun dan terdiri daripada dua wanita, dua lelaki serta lima kanak-kanak.

“Mereka ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua lelaki berumur 18 tahun itu, telah menetap lama di Labuan bersama kedua-dua ibu bapa mereka yang memiliki Kad Pemastautin Tetap,” katanya.

Tambah beliau, serbuan kedua melibatkan seorang wanita berusia 42 tahun bersama enam orang anaknya yang didapati menetap di Labuan sejak 2018.

“Suami wanita tersebut telah pulang ke Zamboanga, Filipina pada Januari lalu. Kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/69.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebat,” katanya. – WILAYAHKU

ANTARA PATI yang ditahan dalam serbuan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas