Berita

DBP mahu peranan penguatkuasaan – Dr Awang Sariyan

- Diterbit 24 Jun 2020 9:27 AM MYT

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) menyambut positif usaha kerajaan menambah baik Akta DBP 1959 sebagai medium penting memperkukuhkan peranan institusi seterusnya mampu memartabat bahasa, sastera dan ilmu dalam kalangan rakyat.

AWANG SARIYAN

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, perhatian yang sewajarnya perlu difokus untuk memberi lebih peranan selain menjamin kelangsungan badan berkanun ditubuh pada 22 Jun 1956 itu.

Beliau berkata, DBP sebagai institusi diasas hasil perjuangan rakyat, tidak seharusnya berperanan sekadar menegur, menasihati dan menggalakkan penggunaan bahasa, sastera dan ilmu, sebaliknya diperluaskan mencukupi aspek penguatkuasaan membolehkannya bertindak terhadap pihak tidak menghormati bahasa Kebangsaan.

“Selama lebih enam dekad DBP telah melaksana perancangan bahasa, memperjuang kewibawaan Sastera Melayu dan ilmu sebagai peradaban bagi ketamadunan bangsa sepertimana diperuntukan Akta DBP sedia ada, melalui pendekatan dakwah yang mana DBP boleh menegur, menasihati dan menggalakan, ia suatu yang positif dan saya pun sukakan begitu,” katanya.

Namun, peranan DBP sekiranya terhad sebegitu, barang kali ia tidak dipandang mulia sesetengah pihak malahan orang ramai terus juga melanggar ketetapan diperuntukkan dalam Perlembagaan seperti Perkara 152.

“Jadi dalam soal bahasa, sastera dan ilmu ini pun pada hemat kami di DBP, perlu ada sedikit tahap kewibawaan dari sudut undang-undang,” katanya selepas sesi majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-64 DBP, di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan juga Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin melalui rakaman video perutusan sempena ulang tahun DBP itu turut menzahirkan harapannya supaya DBP terus maju jaya dan menjadi institusi terkehadapan di dalam memperjuang Bahasa Kebangsaan, memartabat Sastera Melayu dan ilmu persuratan negara.

Dalam pada itu, Awang menjelaskan, penilitian terhadap proses penambahbaikan Akta DBP kini telah pun di peringkat Jemaah Menteri sebelum ia dimuktamadkan.

“Berdasarkan perkembangan cadangan terhadap penambahbaikan Akta DBP serta langkah untuk pemerkasaannya akan dibentangkan di Dewan Rakyat sedikit masa lagi.

“Saya juga berpendapat, DBP juga perlu memiliki keluasan dalam skop kerjanya iaitu kebenaran untuk menjalankan perniagaan untuk menjana pendapatan dan menampung kos operasi untuk mengelakkannya terus bergantung kepada dana kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas