Berita

50 buah keluarga B40 terima beras sumbangan PAS Labuan

- Diterbit 26 April 2021 1:40 PM MYT

SEBANYAK 50 buah keluarga golongan b40 di Pulau Bebas Cukai ini menerima sekampit beras menerusi Program Bantuan Sekampit Beras Pengukir Senyuman anjuran PAS Labuan.

Yang Dipertuanya, Hamir Zahari berkata, objektif program itu bertujuan menyantuni keluarga di sekitar Labuan yang tidak mempunyai kemampuan termasuklah warga emas, ibu tunggal dan sebagainya.

” Lebih 50 buah keluarga terdiri daripada penduduk tempatan dari kumpulan yang kurang berkemampuan dan layak akan menerima sumbangan kampit beras yang akan diagihkan melalui PAS Cawangan masing-masing,” katanya kepada WilayahKu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan berkata, pihaknya turut mengagihkan sejumlah lebih 500 pek bubur lambuk kepada masyarakat di sekitar.

Katanya, agihan itu dilakukan secara serentak di tiga lokasi tumpuan iaitu Bazaar Medan Selera, Bazaar Batu Arang dan Bazaar Pasar Malam.

” Kita gerakkan setiap PAS cawangan kita untuk santuni masyarakat di samping merapatkan ukhwah di kalangan ahli cawangan dan penduduk Labuan.

” Mudah-mudahan agihan ini bermanfaat buat mereka yang menerimanya,” jelasnya. -KHAIRUL IDIN -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas