Berita

APMM tahan dua bot

- Diterbit 26 April 2021 5:53 AM MYT

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 19 kru termasuk tekong, kerana disyaki menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan di kedudukan 10 batu nautika timur laut dari Pulau Pemanggil, awal pagi Ahad.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata kedua-dua bot berkenaan ditahan pada kira-kira 2 pagi dalam satu operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang berumur antara 18 dan 52 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Justeru, bot dan tahanan terbabit akan dibawa ke jeti APMM Pos Teluk Gading bagi siasatan lanjut selain menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah berwaspada dalam membendung penularan wabak itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Nizam berkata kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas