Berita

377 anggota PDRM dikerah banteras jenayah banjir

KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM menggerakkan anggota bagi membantu operasi pencegahan kejadian curi dan pecah premis sama ada perniagaan atau persendirian agar jenayah ini tidak berulang lagi.
- Diterbit 25 Disember 2021 5:00 AM MYT

SUSULAN kejadian pecah masuk premis perniagaan dan kawasan perumahan yang tular di media sosial baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited membanteras jenayah yang berlaku di musim banjir kali ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah mengerahkan 377 anggota dari 94 pasukan sekitar ibu negara ke kawasan bencana bagi membanteras kejadian tersebut.

“PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri telah menggerakkan anggota bagi membantu mencegah kejadian curi dan pecah premis perniagaan atau persendirian,” katanya dalam sidang media di Taman Sri Muda, di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Acryl Sani berkata, sebanyak 15 kes jenayah telah dilaporkan bermula 17 Disember sehingga 24 Disember dan membabitkan lima kes kecurian motor dan kenderaan

“Sebanyak 10 laporan diterima berkaitan pecah premis perniagaan dan rumah dan kes akan disiasat berdasarkan laporan dan aduan yang dikemukakan orang awam,” katanya sambil menambah tiada kes baharu dilaporkan semalam dan berharap ia kekal.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejumlah 68 jalan masih ditutup ekoran banjir yang berlaku.

“Berdasarkan laporan yang diperoleh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), penutupan itu melibatkan tiga kawasan di Kelantan, lima lokasi di Negeri Sembilan, 14 di Selangor dan Pahang sebanyak 46 lokasi,” katanya.-WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas