Berita

Bantuan Banjir Parlimen BTR, bukti keprihatinan terhadap nasib mangsa

KAMARUDIN Jaffar melihat barang keperluan dan makanan dihantar ke Kampung Chegah Medang, Bentong. KAMARUDIN Jaffar melihat barang keperluan dan makanan dihantar ke Kampung Chegah Medang, Bentong.
- Diterbit 25 Disember 2021 4:57 AM MYT

BARANGAN keperluan asas dan produk makanan antara item disumbangkan oleh Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dalam usaha membantu mangsa bencana banjir di Bentong, Pahang.

Ahli Parlimennya, Datuk Kamarudin Jaffar ketika ditemui berkata, misi bantuan disertai lebih 50 sukarelawan setempat dengan kerjasama agensi kerajaan itu dilaksana sebagai usaha ringankan beban ditanggung mangsa yang kebanyakannya mengalami kerugian total.

Beliau berkata, inisiatif prihatin selaras semangat Keluarga Malaysia diambil bagi menzahirkan rasa simpati serta mengambil berat sesama rakyat untuk saling membantu dalam waktu sukar.

“Misi Bantuan Banjir ke Bentong disertai lebih 20 kenderaan membawa barangan keperluan asas, produk pembersihan dan kesihatan diri selain barang makanan akan diagih kepada penduduk di Chegar Medang, Bentong.

“Alhamdulillah misi kali ini disertai 50 petugas Parlimen Bandar Tun Razak terdiri daripada lelaki dan wanita akan membantu penduduk kampung sudahpun dikenal pasti antara kawasan terjejas,” katanya semasa pelepasan konvoi Misi Bantuan Banjir Parlimen Bandar Tun Razak, di sini hari ini.

Bencana banjir yang melanda kebanyakan negeri di Malaysia bermula pertengahan Disember lalu telah menjejaskan kehidupan penduduk selain menyebabkan kemusnahan harta benda.

ANTARA rumah penduduk di Kampung Chegah Medang yang terjejas akibat banjir, turut dibantu melalui Misi Bantuan Banjir Parlimen Bandar Tun Razak ke Bentong, Pahang.

Bencana banjir melanda kata Kamarudin, telah mendapat perhatian keseluruhan rakyat selain diberi penekanan oleh kerajaan dalam membantu mangsa memulakan kembali kehidupan dalam tempoh sukar ketika ini.

“Ini menunjukkan semangat dan perasaan kita di mana sekali pun berlakunya bencana, kita akan saling membantu tanpa mengira agama, bangsa, asas politik.

“Rakyat Malaysia di mana juga perlu membantu dan bekerjasama dengan semua pihak, sama ada NGO, agensi kerajaan, sukarelawan bagi jadikan Malaysia lebih baik selepas ini hasil pengalaman kita, saling bersama di pelbagai lokasi bencana di Lembah Klang, Pahang dan sebagainya,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas