Berita

500 anggota ATM ditambah bantu misi banjir

PANGLIMA ATM, Jeneral Tan Sri Affendi ketika sidang media di Pusat Gerakan Media, Seksyen 25, Taman Sri Muda hari ini.
- Diterbit 25 Disember 2021 7:20 AM MYT

MEMASUKI hari kelapan bencana banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menambah kira-kira 500 anggota bagi membantu kerja-kerja pembersihan di seluruh kawasan yang terjejas.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, jumlah anggota ditambah bagi mempermudahkan proses bantuan pasca banjir di kawasan Taman Sri Muda dan Kampung Bukit Lanchong.

“Jika sebelum ini, kita gerakkan seramai 109 anggota, hari ini kita tambahkan bilangan untuk menumpukan kepada pembersihan fasiliti awam seperti rumah ibadat dan sekolah-sekolah yang terjejas teruk.

“Aset terlibat adalah back hoe dan tipper dan lain-lain yang sesuai. Kita juga menyelaraskan kerja-kerja ini dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di mana ia merupakan kerjasama yang diperlukan dalam menguruskan keperluan pasca banjir ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan Operasi Murni ATM di Pusat Gerakan Media, Seksyen 25, Taman Sri Muda, di sini hari ini.

Affendi berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya mengekalkan kekuatan yang terdiri daripada 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat termasuk kumpulan sokongan.

Mengulas mengenai operasi di Pahang, pihaknya mengerakkan aset yang mempunyai mobiliti lasak dan sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan seperti kenderaan trak tujuh dan tiga tan yang boleh meredah banjir selain dari penggunaan bot tempur ATM.

“Di Pahang buat masa ini atur gerak ATM di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Termerloh, Pekan, Bentong dan Bera melibatka 16 pegawai dan 206.

Menurut Affendi, Divisyen Ketiga Infantfri (3 Divisyen) telah turun meninjau bagi kerja-kerja persediaan untuk pembinaan jmbatan sementara iaitu compact bailey single lane (CB200) di kampung beban, Simpang Durian, Jelebu.

“Ia adalah kemudahan untuk 28 rumah penduduk di kampung berkenaan yang terputus hubungan.

“Kerja-kerja pembinaan jambatan akan dimulakan setelah proses tambak tebing selesai dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan,” katanya.

Ujarnya lagi, ATM masih mengekalkan kekuatan sebanyak 1 kompeni terdiri daripada lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan siapsiaga di setiap negeri untuk diatur ke lokasi banjir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas