Berita

32 peserta petanque YWP berentap secara liga,12 bakal terpilih ke Sarawak

PESERTA petanque hadir ketika sesi pemilihan di Arena Petanque Kuala Lumpur,baru-baru ini.
- Diterbit 27 Ogos 2022 10:00 AM MYT

PESERTA petanque Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mempamerkan komitmen tinggi dalam menjalani latihan serta sesi pemilihan pemain bagi Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri SeMalaysia (PESAYA) 2022.

NORAINI

Pengurus Pasukan Petanque, Noraini Abdullah berkata dirinya teruja apabila sukan petanque mendapat sambutan menggalakkan berbanding acara sukan lain dengan penglibatan seramai 32 peserta.

“Saya bersyukur apabila acara petanque menerima penyertaan tertinggi berbanding sukan-sukan lain. Kesemua peserta menunjukkan komitmen tinggi dalam menghadiri sesi latihan serta pemilihan yang telah diadakan bermula minggu lalu.

“Seramai 32 peserta yang terlibat akan bermain secara liga dan dibahagi kepada empat pasukan. Tiga pemain terbaik bagi setiap kumpulan akan dipilih untuk mewakili di PESAYA,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Noraini, pihak YWP akan memilih 12 orang peserta iaitu enam peserta lelaki dan perempuan termasuk dua pemain simpanan untuk mewakili YWP ke Sarawak pada awal November ini.

“Senarai akhir pemain akan dikeluarkan selewatnya minggu hadapan kerana kita terpaksa meneruskan sesi pemilihan pada Selasa depan memandangkan ada sebahagian daripada pemain yang tidak dapat menyertai sesi pemilihan sebelum ini atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Saya percaya peluang perlu diberikan memandangkan ada daripada mereka yang berbakat dan telah hadir pada sesi latihan tempoh hari,” ujarnya.

Berkongsi berkenaan prestasi semasa peserta petanque, Noraini berkata ketika ini pasukan YWP mempunyai kelemahan dari segi kemahiran terutama bahagian ‘shooter’.

“Untuk posisi ‘pointer’ kita mempunyai ramai calon tapi di bahagian ‘shooter’ masih tiada, oleh itu kita akan melantik seorang jurulatih bagi membantu sesi latihan peserta yang terpilih nanti.

“Namun saya percaya dengan latihan yang berterusan serta komitmen tinggi kita mampu melahirkan ‘shooter’,” katanya yang mengharapkan YWP mampu membawa pulang pingat bagi acara sukan tersebut.

Tambahnya penyertaan YWP bagi acara petanque sebelum ini hanya di peringkat suku akhir dan mengharapkan penganjuran kali ini layak ke peringkat akhir.

Untuk rekod, PESAYA 2022 bakal diadakan di Sarawak pada 3 hingga 13 November ini dan merupakan penganjuran kali ke-14. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas