Berita

St John Ambulans lancar perkhidmatan lebih efisien dengan sumbangan awam

Pengerusi St John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan, Dr Muhd Siv Azhar (kanan) memberi penerangan kepada Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mustapa Kamal tentang ambulans percuma yang berkhidmat di bawah talian 999.
- Diterbit 27 Ogos 2022 6:00 AM MYT

PERBADANAN St John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan baru-baru ini melancarkan perkhidmatan ambulans lebih efisien dengan menggunakan sistem radio komunikasi baharu bagi memberi khidmat masyarakat yang lebih baik kepada warga kota.

Menurut Pengerusi Perbadanan St John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan, Dr Muhd Siv Azhar Merican, sistem baharu ini adalah berasaskan pengkomputeran awan dan internet yang dibangunkan oleh Syarikat Motorola.

“Dengan naik tarafnya sistem ini, komunikasi di antara stesen panggilan ambulans 999 kami dengan petugas di lapangan akan lebih stabil.

“Selain itu, ia (komunikasi) boleh dicapai walaupun ambulans berada sejauh Perlis atau Singapura, berbanding dengan sistem radio frekuensi yang terhad sebelum ini.

“Bukan itu sahaja, kami turut menaik taraf kelengkapan ambulans, peralatan perubatan di samping teknologi yang diadaptasi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, Dr Muhd Siv memaklumkan selain sumbangan awam, dana turut diperolehi daripada Kursus Pertolongan Cemas yang dianjurkan serta pemindahan kes bukan kritikal dari hospital ke rumah.

“Kadar yang dikenakan adalah antara yang termurah bermula dari RM150 hingga RM180 di Lembah Klang atas dasar khidmat kemasyarakatan. Kadar perjalanan ke luar negeri pula dikira berdasarkan jarak kilometer,” katanya.

Tambahnya, bagi sebarang kecemasan, orang awam boleh menghubungi 999 dan bagi tempahan ambulans untuk permindahan pesakit dalam dan luar negeri, maklumat lanjut boleh diperolehi di talian 03-9285 5294.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff yang mewakili Menteri Wilayah Persekutuan bagi merasmikan sistem radio komunikasi baharu ambulans.

Datuk Mustapa Kamal juga berharap orang awam dan badan korporat dapat bersama-sama membantu Perbadanan St John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan memandangkan perkhidmatan percuma ini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan awam.

Terdahulu, Perbadanan St John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan yang berpusat di Cheras, Kuala Lumpur ini telah memberikan perkhidmatan ambulans kecemasan percuma di bawah talian 999 khusus buat warga kota sejak 1998. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas