Atlet Wilayah

Aidil sasar top 3 saingan SUKMA

AIDIL ketika beraksi pada Kejohanan MTB Johor 2022.
- Diterbit 28 Ogos 2022 12:00 AM MYT

ATLET sukan berbasikal bukit Wilayah Persekutuan, Muhammad Aidil Taufid Afendi, 23, tetap fokus dalam bidang sukan yang menjadi keutamaannya sejak berumur 15 tahun biarpun dua tahun kebelakangan ini kekurangan kejohanan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengakui gembira dengan keadaan semasa kerana penganjuran acara semakin menggalakkan, dia mengimpikan berada pada kedudukan tiga teratas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pertengahan September ini.

“Lebih banyak kejohanan yang disertai pada masa akan datang sekali gus dapat mengukur pencapaian diri selain menjadi medan untuk memperbaiki prestasi,” ujarnya yang akan memastikan dirinya mampu mencapai sasaran yang diingini dalam SUKMA.

“Untuk berada di tahap top 3 saya sibuk menjalani latihan setiap hari,” ujar anak sulung daripada dua orang adik-beradik yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Bercerita tentang minatnya dalam sukan lasak ini, Aidil berkata ia bermula sejak dari kecil lagi kerana keinginannya terhadap sukan ekstrem melebihi daripada sukan biasa ketika itu.

“Saya dapat merasakan masa hadapan cerah untuk terus berada dalam sukan berbasikal bukit ini selain berasa tenang dan lebih dekat dengan suasana alam semula jadi,” ujarnya kepada Wilayahku.

Berkongsi tentang langkah keselamatan sebelum berbasikal, kebiasaannya sebelum memulakan latihan mahupun kejohanan, dia akan memastikan basikalnya berada dalam keadaan baik.

“Tayar dan brek paling penting. Jangan sesekali terlepas pandang kerana ia boleh mengundang kemalangan dan kecederaan. Bagi yang beragama Islam pula, perlulah sentiasa berdoa agar sentiasa dalam lindunganNya,” katanya.

Selain sibuk bersukan, dia juga mengambil langkah berani menceburi bidang perniagaan untuk menjana pendapatan seharian.

“Pada mulanya semasa PKP dilaksanakan, kawan saya menawarkan pekerjaan membantunya menguruskan perniagaan produk. Tidak sangka pula ramai pelanggan yang ingin mendapatkan produk krim tersebut.

Alhamdulillah kini sambil bersukan, saya juga dapat menambah duit poket dengan menjual produk yang kaya dengan pelbagai khasiat antaranya membantu mengelakkan kulit daripada melecet semasa bersukan, mengelakkan ruam dansebagainya,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas