Berita

Persempadanan kesihatan penting, pemantauan lebih berkesan

PERSEMPADANAN penting bagi memastikan pemantauan Covid-19 dilaksanakan dengan berkesan.
- Diterbit 16 April 2020 8:19 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiapkan persempadanan zon yang lebih strategik bagi membolehkan pemantauan wabak Covid-19 dilakukan dengan berkesan.

Ini kerana kata, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa, persempadanan daripada Jabatan Kesihatan Daerah yang sedia ada menyebabkan beberapa kawasan dilabelkan sebagai zon merah.

Mengambil contoh Putrajaya, jelas beliau, kawasan yang dilabelkan sebagai zon kuning hanyalah Presint 8, Presint 11, Presint Diplomat, Presint 5, Presint 18, Presint 7, Presint 15, Presint 9, Presint 14 dan Presint 10, namun apabila kesemua kes di kawasan tersebut dicampurkan, keputusan yang diperoleh adalah Putrajaya dikategorikan sebagai zon merah.

“Bagaimanapun, Putrajaya bukan di tahap zon merah kerana 11 lagi Presint yang ada di sini adalah zon hijau. Begitu juga di Kuala Lumpur, semua tempat dikategorikan sebagai zon merah kecuali Kepong kerana pentaksiran yang dipakai tidak menggambarkan tempat yang sebenarnya berlaku kes positif.

“Maka atas pengesyoran Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), KKM telah menyusun, di mana sebenarnya berlaku (kes positif), maka diperkecilkan. Bukan daerah dan mukim kerana dalam Kuala Lumpur, ada mukim yang lebih kecil daripada kawasan Parlimen,” katanya semasa sesi siaran langsung di Facebook rasminya sebentar tadi.

Mengulas lanjut, menurut Annuar, kawasan oren adalah Pekan Setapak dan Pekan Batu manakala bagi zon kuning pula adalah Ampang, Batu Caves dan Cheras.

Ujarnya, zon hijau dicatatkan di Pekan Penchala, Pekan Hulu Kelang, Pekan Bandar Baru Sungai Besi, Pekan Batu, Pekan Kuala Pauh dan Pekan Salak Selatan.

Bagi pelaksanaan terowong nyah kuman pula, jelas Annuar, kaedah tersebut tidak menjamin keselamatan sebaliknya boleh menimbulkan ancaman kesihatan terutama kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas