Berita

10 juta topeng muka dibawa masuk dari China

Kemasukan bekalan dilakukan secara berperingkat dan agihannya diuruskan NADMA
FADILLAH dalam sidang akhbar khas Selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.
- Diterbit 21 Mac 2020 6:24 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membawa masuk 10 juta topeng muka dari China susulan kekurangan produk berkenaan di pasaran tempatan akibat penularan wabak Covid-19.

Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemasukan bekalan tersebut akan diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan yang akan bekerjasama dengan syarikat pengangkutan.

“Kemasukan topeng muka itu akan dilakukan secara berperingkat. Ia agihannya akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Keutamaan pengagihan adalah kepada pekerja barisan hadapan iaitu pihak yang berusaha menangani wabak Covid-19 di peringkat kebangsaan dan negeri seperti Kementerian Kesihatan (KKM), polis, imigresen dan tentera yang akan terlibat sama nanti,” katanya dalam sidang akhbar khas Selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Menurut Fadillah, pihaknya akan memuktamadkan tentang jumlah topeng muka yang akan dibawa masuk bagi fasa pertama.

Dalam pada itu, ujarnya, topeng muka hanya akan dipasarkan sekiranya terdapat lebihan dan ia juga akan diuruskan oleh NADMA yang akan bekerjasama dengan Pharmaniaga.

Ini kerana, jelas beliau, penggunaan topeng muka hanya untuk individu yang bekerja di barisan hadapan atau terdedah kepada wabak Covid-19 serta pesakit dan bukan sebaliknya seperti yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, orang ramai perlu mengikuti garis panduan yang ditetapkan KKM serta pengumuman awam dari semasa ke semasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas