Berita

24,196 asnaf Wilayah Persekutuan terima zakat tambahan

MAIWP meluluskan peruntukan RM3.27 juta kepada 7 buah hospital di Wilayah Persekutuan
MAIWP serahkan bantuan zakat kepada asnaf yang memerlukan. - Gambar hiasan
- Diterbit 21 Mac 2020 4:17 AM MYT

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan peruntukan zakat tambahan sebanyak RM12.1 juta bagi menjaga kebajikan asnaf dan menampung keperluan perubatan penerimanya susulan penularan wabak Covid-19 pada masa ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee berkata, daripada jumlah itu, 24,196 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mendapat manfaat.

“Setiap asnaf akan menerima RM500 dan penyaluran bantuan ini akan disalurkan awal April nanti selaras dengan seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menyeru agar kebajikan asnaf sentiasa dipelihara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sebelum itu, MAIWP telah mempercepatkan penyaluran Bantuan Zakat Kewangan Bulanan bagi bulan Mac pada 19 hari bulan lalu kepada bilangan penerima yang sama dengan perbelanjaan sebanyak RM9.67 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Syed Hussien turut memaklumkan, selain menampung keperluan peralatan kesihatan dan perubatan di hospital ekoran Covid-19, MAIWP juga meluluskan peruntukan berjumlah RM3.27 juta yang akan disalurkan kepada tujuh buah hospital di Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, bantuan yang diberikan adalah peralatan pernafasan seperti BIPAP Machine Unit Rawatan Rapi (ICU) bernilai RM80,000 setiap satu; ventilator ICU bernilai RM150,000 (1 unit), home ventilator bernilai RM90,000 (1 unit) dan peralatan-peralatan lain yang bernilai antara RM5,000 hingga RM20,000 setiap satu.

“MAIWP dari semasa ke semasa akan sentiasa melihat keperluan yang timbul bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh Covid-19, selari dengan misi #musaadahCOVID19.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan. Dengan zakat yang dibayar, asnaf di Wilayah Persekutuan dapat disantuni sebaik mungkin terutamanya ketika berhadapan situasi Covid-19 ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas