Berita

YWP fokus naik taraf hidup warga kota

ABDUL Rahman (empat kanan) dan Azman (empat kiri) bersama penerima
- Diterbit 7 April 2023 4:09 AM MYT

37 TAHUN ditubuhkan sejak 9 April 1986, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa bergerak aktif melaksanakan matlamatnya dalam membantu menaik taraf hidup golongan berpendapatan rendah di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Buktinya, hari ini YWP mampu menyantuni warga kota bukan sahaja melalui perkhidmatan dan gerak kerja yang tertumpu kepada
lima aspek utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T) malah sokongan kerjasama daripada ketuanya bersama kakitangan.

Terbaharu bagi memperkukuhkan lagi inisiatif-­inisiatif yang dilaksanakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi YWP telah melantik Abdul Rahman Siraj sebagai Pengarah Eksekutif YWP berkuat kuasa bermula 1 Mac bagi tempoh tiga tahun.

Pelantikannya itu dilihat mampu membantu meningkatkan keupayaan YWP untuk memberi khidmat yang terbaik kepada warga Wilayah Persekutuan khususnya golongan rentan dan B40.

Abdul Rahman Siraj berkata pelantikannya adalah satu tanggungjawab besar yang harus dipikul dan berharap dapat bekerjasama dengan kakitangan untuk memberi perkhidmatan terbaik buat syarikat dan warga Wilayah Persekutuan.

“Saya percaya dengan sokongan dan kerjasama daripada seluruh kakitangan, YWP akan terus maju jaya di masa hadapan serta mampu memberikan yang terbaik seiring visi dan misi YWP serta warga kota,” katanya kepada Wilayahku semasa menghadiri Majlis Iftar dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang YWP di Hotel Tamu & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Selasa.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin berharap pelantikan itu dapat memacu kedudukan YWP dalam pembangunan Wilayah Persekutuan termasuk penambahbaikan terhadap program­program YWP.

“Saya berharap dengan adanya Pengarah Eksekutif baharu, pelbagai penambahbaikan dapat dilaksanakan bukan sahaja pada program­program tetapi meningkatkan sumber pendapatan YWP.

“Kita sedar bahawa fungsi YWP adalah menjurus kepada aspek pembangunan pendidikan, kebajikan, sosial dan kesejahteraan komuniti di Wilayah Persekutuan, jadi kita akan berganding bahu bersama Pengarah Eksekutif baharu ini untuk pastikan fungsi ini dikekalkan agar ia terus memberi manfaat kepada seluruh warga kota.

“Saya juga turut mendoakan agar YWP akan terus melakar kejayaan dan menunjukkan budaya kerja yang berprestasi tinggi, berintegriti dan bersemangat dalam melaksanakan tugasan harian,” katanya.– WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas