Berita

YWP julung kali rai 10 kakitangan cemerlang

MOHD Ali (tengah) menerima Anugerah Khas Setia Perkhidmatan pada Majlis APC YWP di Hotel Tamu & Suites pada Selasa.
- Diterbit 7 April 2023 4:48 AM MYT

SERAMAI 10 kakitangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang julung kali diadakan.

Penganugerahan ini diadakan bagi menghargai kecemerlangan dan keupayaan kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2022 kepada syarikat termasuklah warga Wilayah Persekutuan.

Penerima  Anugerah Khas Setia Perkhidmatan, Mohd Ali Daud menyifatkan anugerah ini adalah hadiah paling bermakna buatnya setelah 27 tahun berkhidmat dengan YWP.

Alhamdulillah, terima kasih keluarga dan rakan-rakan. Sejak berkhidmat di YWP dari tahun 1996 sehingga kini, inilah hadiah pertama yang dirangkul dan sudah pasti ia cukup bermakna dan gembira buat saya,” katanya yang sedang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir Kanan P.E.S.A.T.

Sementara itu, Pembantu Tadbir Grafik Jabatan Media dan Komunikasi Strategik, Muhammad Ariff Noor Azman Shah turut merangkul
dua anugerah iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang selain kategori kakitangan sokongan masa depan dan bakat.

“Saya menghargai segala yang diberi dan terima kasih diucapkan khususnya kepada semua penilai, ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan moral dan fizikal serta pengurus besar di Jabatan saya iaitu Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir kerana percaya dengan kerja saya sejak tahun 2019 sehingga kini.

Dalam pada itu, APC turut meraikan kakitangan dengan memberikan 10 hadiah santai antaranya terpaling sporting, terpaling anggun,
terpaling serius, terpaling rajin dan sebagainya.

Bagi penerima anugerah terpaling glamour, Wan Noor Hasni Chek Hani, sentiasa ingin kelihatan cantik, kemas dan bergaya adalah antara faktor yang menyebabkan dia menerima anugerah kategori tersebut.

Terdahulu, pemilihan penerima anugerah APC dinilai berdasarkan prestasi dalam perkhidmatan yang merangkumi seluruh kakitangan Jabatan di YWP termasuklah anak syarikat iaitu Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) dan YWP Media Sdn Bhd (Akhbar Wilayahku).– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas