Berita

Minggu Infaq Putrajaya sarat aktiviti kerohanian, serikan Ramadan 1444H

KAUNTER serahan barang dan tabung infaq telah dibuka pada 24 Mac hingga 14 April 2023 bertempat di Padang
- Diterbit 7 April 2023 3:26 AM MYT

RAMADAN membuka ruang kepada setiap umat Islam untuk melakukan amal kebajikan bagi mendapatkan ganjaran istimewa melebihi bulan lain dan antara amalan yang digalakkan adalah bersedekah.

Bagi menggalakkan orang ramai menderma sekali gus menambah pahala dalam bulan Ramadan, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil inisiatif menganjurkan Program Minggu Infaq Putrajaya bermula 24 Mac hingga 14 April 2023 bertempat di Padang Dataran Putrajaya.

Menurut Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan PPj, Mohd Ali Jusoh, program kemasyarakatan yang bermula dari pukul 5 petang sehingga 9 malam itu adalah bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan di sekitar Putrajaya.

“Sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula dan lain-lain itu diharap dapat mengurangkan beban tanggungan keluarga, membina keupayaan bagi meningkatkan pendapatan seterusnya mensejahterakan kehidupan warganya dalam menyambut perayaan Aidilfitri akan datang.

“Selain beramal sambil menderma, program yang bermula sejak 2018 itu juga adalah bagi mempromosikan kewujudan sudut infaq di surau-surau Putrajaya kepada komuniti,” ujarnya kepada Wilayahku.

Mohd Ali berkata melalui program tersebut, sudut infaq di Gerobok Rezeki Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan sembilan buah surau terpilih di Putrajaya dapat dipenuhkan dengan stok barangan asas untuk didermakan kepada golongan asnaf.

“Kita bantu kumpul dan tambah stok-stok barang untuk disalurkan ke sudut infaq tersebut. Alhamdulillah sejak lima tahun lalu, ia mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan individu persendirian bahkan pihak syarikat dan badan korporat juga turut menderma.

“Saya ingin menyeru lebih ramai pihak untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan asnaf yang serba kekurangan ini. Kami amat memerlukannya dan sokongan daripada orang ramai,” tambahnya turut berharap pada tahun ini pihak PPj mencapai jumlah sasaran sebanyak RM10,000 melalui tabungtabung disediakan selain sumbangan yang diterima daripada syarikatsyarikat di Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau berkata Program Minggu Infaq pada tahun ini berbeza dari tahun sebelumnya kerana pengunjung akan turut diserikan dengan Tazkirah Muzikal daripada selebriti hijrah dan penceramah sebelum berbuka puasa di pentas Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2023.

“Tazkirah Muzikal ini bertujuan bagi mempromosi Minggu Infaq selain menerapkan nilai-nilai kerohanian dalam diri melibatkan komuniti Putrajaya yang hadir ke Festival Ramadan Putrajaya untuk berbuka puasa.

“Lebih menarik, program ini dijalankan selama enam hari iaitu pada 24, 25, 26 Mac dan 7, 8, 9 April yang menampilkan penceramah seperti Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa, Ijam Medicine, PU Amin dan lain-lain,” ujarnya pelbagai pengisian telah disusun bagi meraikan pengunjung yang berkunjung ke Laman Iftar serta FRP2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas