Berita

“YWP bantu saya berjaya seperti hari ini” – Bekas penerima biasiswa

SEBAHAGIAN penerima bantuan di bawah P.E.S.A.T menunjukkan cek yang diterima dari YWP. – Gambar hiasan
- Diterbit 3 Jun 2023 12:30 AM MYT

PENERIMA Skim Bantuan Awal IPT dan biasiswa Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengakui bantuan tersebut sangat membantu mereka sekali gus meringankan beban keluarga.

Menurut salah seorang penerima kedua-dua bantuan, Nur Ambia Nafariesha Md Hashim, 23, biasiswa yang diterima membantunya meneruskan kehidupan sebagai pelajar.

“Saya anak yatim piatu, tiada tempat bergantung jadi saya sangat bersyukur dengan pemberian ini. Ia menjadi pembakar semangat untuk berjaya dan mengubah kehidupan,” ujarnya yang merupakan anak sulung daripada dua orang adik-beradik.

Pelajar tahun dua Universiti Utara Malaysia (UUM) ini berharap agar ramai lagi pelajar yang tidak berkemampuan di luar sana dibantu YWP demi kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

“Ramai yang terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran dan melupakan cita-cita kerana tidak mampu. Bagi saya selama ini YWP sangat membantu anak-anak Wilayah Persekutuan terutama daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Azfillah A. Aziz

Sementara itu, bekas pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azfillah A. Aziz berkata bantuan tersebut menjadikannya seorang yang berjaya dalam karier pada hari ini.

“Saya begitu menghargai bantuan biasiswa yang pernah diberi. YWP membantu saya mencapai cita-cita. Sudah tentu saya tak akan lupakan jasa tersebut,” ujar Pegawai Kanan Pelancongan Bahagian Pengiklanan dan Digital, Tourism Malaysia ini.

Terbaharu, YWP melancarkan Tabung Kebajikan dan Pelajaran yang dikhaskan untuk membantu warga Wilayah Persekutuan melalui lima teras iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T).

Individu dan badan korporat dialu-alukan untuk menyumbang atau bekerjasama dengan YWP dengan menghubungi pegawai YWP di talian 019-383 1658 (Fadzil), 012-972 3006 (Zaidi) dan 019-881 8780 (Zaleha). -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas