Berita

Dana RM150,000 bantu 30 usahawan asnaf Labuan kembang perniagaan

MOHD ZAMEREY (empat dari kanan) dan Dr Geoffrey (empat dari kiri) bersama usahawan asnaf selepas Majlis Projek Asnafpreneur Bank Rakyat di UMSKAL, baru-baru ini.
- Diterbit 3 Jun 2023 2:00 AM MYT

PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Bank Rakyat dan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) melancarkan Projek Asnafpreneur Bank Rakyat.

Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak berkata kerjasama itu bertujuan untuk membantu usahawan asnaf di Labuan yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Melalui projek ini, 30 usahawan asnaf menerima sumbangan kewangan sebanyak RM5,000 oleh Bank Rakyat melalui dana wakalahnya dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM150,000.

“Usahawan-usahawan ini juga akan diberi bimbingan dan pantauan khas oleh UMSKAL melalui FKAL bagi sesi monitoring, coaching dan motivation selama enam bulan bermula Mei hingga Oktober 2023,” katanya pada Majlis Projek Asnafpreneur Bank Rakyat di UMSKAL, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zamerey berkata pihaknya sentiasa bersedia dan komited untuk menjadi pemudah cara bagi menjayakan sebarang usaha sama yang memberi pulangan kepada masyarakat secara menyeluruh khususnya golongan asnaf dan yang memerlukan.

Inisiatif itu memperlihatkan keprihatinan dan ihsan Bank Rakyat terhadap kesejahteraan masyarakat lebih-lebih lagi dalam kawasan operasi perbankannya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal yang mewakili pengurusan tertinggi UMS berbesar hati dengan kerjasama tersebut bagi mewujudkan hubungan sinergi di antara PPZMAIWP, Bank Rakyat dan juga UMSKAL.

“Kerjasama ini melibatkan usahawan-usahawan asnaf di Labuan yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas