Berita

SMP semarak semangat patriotik, cintakan negara

PARA peserta pertandingan gubahan bunga bergambar selepas sesi penyampaian hadiah kepada
- Diterbit 2 Jun 2023 8:00 AM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) mengadakan Program Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) secara serentak di seluruh Malaysia bermula 20 hingga 28 Mei lalu.

Bertemakan Perpaduan Dalam Kepelbagaian, SMP merupakan salah satu program tahunan di KPN dan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) di mana pelbagai aktiviti menarik dirancang bagi seluruh lapisan masyarakat. JPNIN dalam satu kenyataan berkata SMP diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat yang berbilang kaum untuk memelihara dan mengekalkan sebuah negara harmoni, sejahtera dan stabil.

“Ia sekali gus menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam usaha membina warganegara yang bertanggungjawab dan mempunyai jati diri,” ujarnya.

Pelbagai program menarik disajikan seawal pukul 7 pagi antaranya piknik perpaduan, pertandingan mewarna, aktiviti sukan rakyat, persembahan kebudayaan, kuiz perpaduan dan gubahan bunga.

“Manakala di luar dewan pula aktiviti yang diadakan seperti senam perpaduan, kayuhan ceria, treasure hunt, pameran agensi, jualan komuniti, saringan kesihatan dan demonstrasi makanan pelbagai kaum,” ujarnya.

Terdahulu, Program SMP Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2023 berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya dirasmikan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Di peringkat Putrajaya, ia melibatkan kolaborasi bersama PPj, Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Pejabat Belia Dan Sukan Kawasan Putrajaya, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Putrajaya, Arkib Negara Malaysia, Pejabat Kesihatan WP Putrajaya, Angkatan Pertahanan Awam dan RELA Putrajaya.

Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) turut terlibat sebagai jawatankuasa penyelaras aktiviti iaitu KRT Fasa 4B (2) Presint 8, KRT Apartment 15-12A serta Kelab Anak Muda Putrajaya.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Perhubungan Masyarakat KPN, Dr Ang Li Ling; Pengarah JPNIN Putrajaya, Ruzylawati Mustapha Kamar dan Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superitenden Polis Mohd Hafiz Shamsudin. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas